BINTULU, 29 Mei: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Bintulu menahan dua bot nelayan nelayan asing disyaki menceroboh perairan negara pada jarak lebih kurang 87 batu nautika dari barat laut Kuala Kemena, sekitar jam 9.00 pagi semalam.
Pemangku Pengarah Zon Maritim Bintulu, Komander Maritim Effendy Mohamed Fadil berkata tangkapan tersebut adalah hasil pemantauan di kawasan yang dipercayai menjadi ‘hotspot’ bagi bot-bot nelayan asing.
Hasil daripada itu, aset Maritim Malaysia telah mengesan dua bot mencurigakan dan disyaki sedang leka menjalankan aktiviti menangkap ikan di lokasi tersebut sekitar jam 8.00 pagi.
“Pihak Maritim Malaysia terus mengejar serta mengarahkan kedua-dua bot tersebut untuk berhenti dan telah mengambil masa hampir satu jam sebelum berjaya merapat dan menahan kedua-duanya.
“Hasil pemeriksaan dan geledah, mendapati dua bot itu tiada sebarang dokumen serta lesen dari Pengarah Perikanan Malaysia untuk melakukan sebarang aktiviti menangkap ikan di perairan negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Manakala 25 kru termasuk dua tekong warga Vietnam berumur dalam lingkungan 20an hingga 50an juga gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah ketika diperiksa.
“Semua kru termasuk dua tekong dan dua bot ditahan dan diiring ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu untuk siasatan lanjut.
“Manakala peralatan menangkap ikan, bekalan diesel lebih kurang 10,000 liter serta hasil tangkapan sekitar 10 tan metrik ikan campur dirampas,” katanya.
Jelasnya keseluruhan rampasan termasuk dua bot dianggarkan bernilai RM2 juta.
Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu menjalankan aktiviti perikanan di perairan Malaysia tanpa kebenaran yang sah serta Akta Imigresen 1959/63 kerana telah gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
Kesemua nelayan warga asing terbabit menjalani ujian saringan COVID-19 oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia sebagai langkah berjaga-jaga bagi membendung penularan wabak Covid-19 setiba di jeti. — DayakDaily