Kapal kargo ditahan gara-gara gagal pamer lesen sah semasa diperiksa APMM

Kapal yang ditahan APMM kerana gagal pamer lesen sah.

KUCHING, 23 Mei: Sebuah kapal kargo ditahan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) pada jarak 2.1 batu nautika tenggara Tanjung Po semalam.

Pengarah Maritim Negeri Sarawak Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata, kapal yang membawa muatan batu kerikil itu dikesan dalam keadaan mencurigakan pada jam 4.30 petang.

Katanya kapal tersebut ditahan oleh aset peronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan operasi pemantauan berdekatan perairan tersebut.

“Hasil pemeriksaan mendapati mereka gagal mempamerkan dokumen Domestic Shipping License (DSL) yang sah ketika diperiksa.

“Didapati juga kapal tersebut dikendalikan oleh tujuh orang kru termasuk nakhoda dan dua antaranya merupakan warga tempatan, empat orang warganegara India dan seorang warganegara Myanmar berumur lingkungan 19 tahun hingga 53 tahun,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, kesemua mereka mempunyai pengenalan diri ketika diperiksa.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952.

Katanya, Maritim Malaysia sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti Maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan, jenayah maritim atau kecemasan di laut terus ke talian Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544/ 432016 yang beroperasi 24 jam. — DayakDaily