223 penggiat seni muzik tempatan terima royalti

Juliet (kiri) menyampaikan penyata royalti kepada Pengarah Aka Damai Production Jesley Jabu.

KUCHING, 30 Dis: Sejumlah RM43,679.77 hasil kutipan royalti muzik oleh Music Right (Sarawak) Berhad (MRSB) bagi tahun 2023 telah diserahkan kepada penggiat seni muzik tempatan pada 27 Dis lepas.

Seramai 223 ahli MRSB yang terdiri daripada pencipta lagu, penulis lirik, syarikat penerbit, studio rakaman, penyanyi dan penyusun muzik menerima royalti tersebut.

Turut menerima pemuzik dalam pembikinan lagu serta pengarah video.


Menurut Pengarah Urusan MRSB Juliet Tan, hasil pungutan royalti setakat 15 Nov 2023 diperolehi melalui pembayaran lesen penggunaan muzik oleh syarikat perhotelan, pasar raya, KTV, rumah asap, dan acara tunggal yang kecil.

“Skop kutipan royalti muzik hanyalah ke atas lagu-lagu etnik tempatan Sarawak termasuklah lagu Iban, Bidayuh, Melanau, Kayan, Kenyah, Lunbawang, Salako dan lain-lain etnik.

“Ini bermakna sebarang aktiviti yang memainkan secara langsung ataupun tidak langsung karya etnik tempatan membayar royalti muzik seperti yang diperuntukan di bawah Akta Hak Cipta 1987.

“Ia sama ada secara persembahan langsung, audio ataupun visual adalah menjadi satu kemestian untuk pihak premis dan penganjur pesta membayar royalti muzik,” katanya di majlis penyerahan royalti.

Dalam pada itu, Juliet berharap para pengguna muzik atau entiti perniagaan yang memainkan lagu-lagu etnik di premis perniagaan mereka agar memohon lesen muzik daripada MRSB dengan segera.

Katanya, masih terdapat banyak pengguna muzik yang belum mengambil lesen penyiaran muzik daripada MRSB yang secara langsung akan menjejaskan pengagihan royalti muzik kepada ahli.

“Sehingga hari ini, seramai 945 penggiat seni telah mendaftar menjadi ahli MRSB secara atas talian, manakala hanya 223 orang ahli telah menyerahkan mandat kepada MRSB sepenuhnya.

“Ini bermakna hanya 223 ahli layak menerima royalti muzik bagi tahun 2023,” ujarnya. — DayakDaily