MRSB diiktiraf badan pelesenan muzik

Nanta (dua dari kiri) menyerahkan sijil pengiktirafan MyIPO kepada Gibson.

KUCHING, 26 Feb: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Dato Sri Alexander Nanta Linggi hari ini menyerahkan sijil pengisytiharan kepada Music Rights Sarawak Berhad (MRSB).

Sijil perisytiharan ini diserahkan kepada Pengerusi MRSB Gibson Rentap.

Dengan ini, MRSB adalah badan pelesenan yang diiktiraf oleh Kerajaan untuk menjalankan aktiviti kutipan royalti mewakili penyanyi, pemuzik dalam rakaman lagu, pembikin video muzik dan syarikat rakaman tempatan melibatkan etnik tempatan di Sarawak.


“MRSB merupakan antara badan pelesenan yang terkini diisytihar oleh Pengawal Hak Cipta di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

“Badan ini diberi kuasa mengutip royalti muzik dan mewakili ahli-ahli eksklusif pemilik dan pencipta karya muzik, rakaman bunyi dan persembahan pelaku etnik Sarawak.

“Langkah ini bertepatan bagi menjaga hak komposer dari Sarawak di samping memberikan manfaat yang optimum kepada mereka,” katanya.

Nanta berharap pengikitrafan ini akan dapat membantu lebih ramai pemain industri di sini untuk terus berkembang maju di masa akan datang.

Badan-badan pelesenan yang sedia ada yang merangkumi kategori muzik merupakan Music Authors Copyright Protection Berhad (MACP), Public Performance Berhad (PPM), Recording Performers Berhad (RPM) dan Music Right Sabah Berhad (MRS).

Manakala yang merangkumi kategori filem MPLC Sdn.Bhd dan yang merangkumi kategori sastera Malaysia Reprographic Rights Centre Malaysia Berhad (MARC).

Beliau yakin penubuhan dan pengiktiran MRSB sebagai badan peselenan antara lain akan memberi manfaat kepada ahli-ahlinya dalam menguruskan hak royalti mereka di samping menjaga kebajikan mereka dalam industri muzik.

Antara ahli yang bernaung di bawah badan ini ialah pencipta lagu, penulis lirik, penyanyi, pemuzik dalam rakaman lagu, pembikin video muzik dan syarikat rakaman.

Hadir sama Ahli Lembaga Pengarah MyIPO, Dato Chua Tee Yong, Datuk Kamarlin Ombi dan Datu Dr.Rashidah Bolhassan.

Turut hadir Ketua Pengarah MyIPO, Abdul Haris Lakar dan Pengarah Urusan MRSB, Juliet Tan. — DayakDaily