21 ditangkap termasuk dua disyaki pengedar dadah dalam satu serbuan pusat hiburan di Kuching

Kelihatan Mohd Azman semasa bercakap dalam sidang media tersebut. Turut kelihatan Mancha (kiri) dan Mustafa (dua dari kanan).

KUCHING, 20 Jun: Seramai 21 orang ditangkap dalam satu serbuan ke atas sebuah kelab malam di pusat bandaraya kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah pada 15 Jun lalu.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato’ Mohd Azman Ahmad Sapri berkata kesemua yang ditangkap merupakan warga tempatan berusia lingkungan 20 hingga 51 tahun iaitu 17 lelaki dan empat wanita.

“Pasukan operasi turut merampas pelbagai jenis dadah iaitu 46 paket jus Ekstasi bernilai RM29,900, 150 biji pil Erimin 5 bernilai RM2,250, 99 biji pil Ekstasi bernilai RM1,485 dan 25.23 gram ketamin bernilai RM3,784.

“Hasil saringan air kencing juga mendapati 19 yang ditangkap positif dadah jenis methamphetamine dan dua lagi lelaki negatif dadah,” katanya dalam satu sidang media berhuhung kejayaan tersebut hari ini.

Katanya, dua daripada lelaki yang ditangkap, disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana disyaki pengedar dadah .

“Modus operandi dipercayai suspek mendapatkan bekalan dadah daripada seorang lelaki tempatan dan bekalan dadah akan dijual kepada pengunjung pusat hiburan mengikut permintaan,” katanya.

Polis dalam operasi tersebut turut menyita wang tunai RM3,425 dan sebuah kereta dianggarkan bernilai RM40,000.

“Dua daripada suspek ditahan reman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B ADB 1952. Seorang lagi telah dituduh di bawah Seksyen 39A ADB 1952 dan telah dibebaskan dengan jaminan mahkamah.

“Manakala 18 lagi suspek dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu laporan patalogi, laporan kimia dan siasatan dilengkapkan,” katanya.

Mohd Azman menegaskan pihaknya melalui Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik akan terus mempertingkatkan tindakan membanteras kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah.

“Kita akan melumpuhkan sumber bekalan, kewangan dan aset sindiket ini bagi memastikan kegiatan mereka dibanteras habis-habisan,” katanya.

Sidang media tersebut turut dihadiri Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata dan Ketua JSJN Sarawak ACP Mustafa Kamal Gani Abdullah. — DayakDaily