Dua sarang dadah di Betong diserbu

Dadah dan wang yang dirampas daripada suspek.

KUCHING, 20 Jun: Dua kawasan dipercayai sarang penagih dadah di Jalan Tisak dan Beladin, Betong diserbu sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Natkotik (JSJN) IPK Sarawak pada 18 Jun baru-baru ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato’ Mohd Azman Ahmad Sapri berkata dua serbuan tersebut telah berjaya menangkap 21 individu terdiri daripada 18 lelaki dan tiga wanita termasuk seorang dipercayai pengedar dadah.

Katanya, serbuan dilakukan dari jam 12 tengah hari sehingga 6.30 petang.


“Seramai 21 orang ditangkap berusia lingkungan 18 hingga 54 tahun dan seorang daripada wanita yang ditangkap, disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Manakala 19 lagi disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 dan seorang lagi disiasat di bawah Seksyen 12(2) ADB 1952,” katanya dalam sidang media berhuhung kejayaan tersebut hari ini.

Seramai 18 lelaki dan seorang wanita yang ditangkap juga disahkan positif dadah jenis methamphetamine.

Jelasnya juga, pasukan operasi turut merampas dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM13,230.

“Modus operandi mendapati suspek menggunakan kawasan hutan di Jalan Tisak sebagai sarang dadah yang aktif dari pagi hingga lewat petang, manakala di Beladin aktiviti penjualan dadah dijalankan di rumah suspek.

“Bekalan dadah diperolehi dari seorang lelaki yang telah dikenalpasti di kawasan Beladin.

“Suspek akan membungkus semula dadah dan menjualnya kepada penagih tempatan,” katanya.

Dalam operasi tersebut, pasukan operasi turut menyita wang tunai RM7,488 dan barang kemas dianggarkan bernilai RM27,988.

“Polis, khususnya JSJN akan terus mempertingkatkan tindakan bagi membanteras kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah,” tegasnya. — DayakDaily