KUCHING, April 12: Kira-kira 200 orang pegawai kanan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) akan terlibat di dalam proses Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini.
Datuk Bandar DBKU, Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai berkata ia bagi membantu melancarkan proses pengundian khususnya di dalam kawasan seliaan DBKU.
“Sebahagian besar pegawai DBKU akan terlibat secara langsung dengan pelantikan mereka sebagai pegawai pengurus, kerani pilihan raya dan ejen mengundi,” katanya ketika dihubungi.
Abang Abdul Wahap menambah pegawai-pegawai yang akan terlibat adalah daripada kumpulan pengurusan tertinggi dan menengah di dalam DBKU.
“Mereka telah menjalani latihan dan mesyuarat baru-baru ini sebagai persiapan agar dapat menjalankan tugas dengan baik dan lancar,” katanya.
Menurut Abang Abdul Wahap lagi, pegawai-pegawai yang terlibat akan ditempatkan di kawasan Parlimen Santubong dan Parlimen Petra Jaya, yang merangkumi kawasan seliaan DBKU.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh penamaan calon pada April 28 ini dan Mei 5 untuk pengundian awal manakala hari mengundi pada Mei 9. — DayakDaily