Datuk Bandar DBKU: Tiada arahan usir penjaja di Tebingan Kuching

Junaidi (dua dari kiri) menyerahkan beg plastik kepada wakil peserta dari DBKU semasa program tersebut.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Mac 1: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) menafikan khabar angin bahawa penjaja di Tebingan Kuching akan diusir pada Mac ini.

Datuk Bandar Datu Junaidi Reduan berkata DBKU tidak pernah mengeluarkan arahan kepada penjaja untuk menghentikan perniagaan.

“Kita belum membuat keputusan muktamad berhubung isu ini.

“Apa yang pasti ialah kita sedang membuat perancangan untuk mengindahkan lagi Tebingan Kuching dan ini tidak bermaksud kita mengusir para penjaja,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui pada Program “Plogging Walkabout” Bersama Datuk Bandar di Tebingan Kuching hari ini.

Program itu merupakan kerjasama ‘hijau dan bestari’ antara DBKU dan Trienekens Sdn Bhd.

Menurut Junaidi, tujuan program itu adalah untuk memupuk rasa bertanggungjawab serta membudayakan amalan gaya hidup sihat dan menghargai keindahan persekitaran kepada warga Kuching. — DayakDaily