‘Bantuan wang ihsan banjir tiada bermotifkan politik’

John Sikie (tengah) bersalaman dengan para penerima bantuan wang ihsan banjir.

TATAU, April 12: Para penerima wang ihsan banjir di daerah ini diminta tidak menyalahgunakan bantuan yang diberikan oleh kerajaan.

Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang-undang dan Adat Bumiputera), Datuk John Sikie Tayai berkata, bantuan wang tunai yang disalurkan oleh kerajaan sepatutnya dibelanjakan untuk membeli barangan keperluan harian.

Katanya, wang ihsan itu tidak harus digunakan untuk perbelanjaan yang tidak sewajarnya, tetapi untuk kegunaan ahli-ahli keluarga mereka.


“Saya berharap gunakan wang ihsan ini dengan sebaik-baiknya kerana bantuan daripada kerajaan adalah bagi meringankan beban mangsa banjir ketika berdepan musibah sebelum ini.

“Jangan membeli barangan yang tidak sepatutnya, namun berbelanjalah dengan berhemah,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bantuan Wang Ihsan Daerah Tatau bertempat di Dewan Sukan Tatau di sini hari ini.

Seramai 142 ketua isi rumah yang terjejas akibat banjir sebelum ini menerima bantuan tersebut.

John Sikie yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus menambah, pengagihan wang ihsan itu dilaksanakan secara telus tanpa mengira fahaman politik kerana ia lebih mementingkan pembelaan kepada mangsa-mangsa banjir.

Katanya, fokus utama kerajaan adalah untuk memastikan kebajikan mangsa-mangsa banjir yang terjejas sebelum itu sentiasa terjaga.

“Bantuan ini diagihkan tanpa agenda yang bermotifkan politik. Ia merupakan tanggungjawab dan amanah kerajaan untuk menjaga kebajikan mangsa-mangsa banjir,” ujarnya lagi. ā€” DayakDaily