DBKU keluar notis arah semua operasi perniagaan ditutup sementara

Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi

KUCHING, Mac 17: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) akan mengeluarkan notis meminta agar pihak pengusaha pasar, pusat penjaja, premis makanan termasuk pasar malam supaya mengambil langkah menutup sementara operasi perniagaan mereka.

Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam Dan DBKU) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, ia sebagai langkah membendung penularan wabak penyakit Covid-19 khususnya di tempat-tempat sebegini merupakan tumpuan pengunjung.

“Ia adalah sebagai langkah kawalan DBKU dalam pengekangan penularan Wabak Covid-19 demi kesejahteraan semua wargakota,” katanya pada sidang media khas di Bangunan DBKU hari ini.


Selain itu menurut Dr Abdul Rahman, DBKU juga akan menutup premisnya yang melibatkan pusat kunjungan awam berkuatkuasa mulai esok.

Katanya, ia melibatkan Perpustakaan DBKU di Bangunan Majma Tuanku Abdul Halim Mua’zam Shah di Jalan P Ramlee, Muzium Kucing dan Taman Orkid di Pengkalan Sapi.

“Di samping itu DBKU juga akan membatalkan Program ‘Earth Hour’ yang dijadualkan pada penghujung bulan Mac ini.

“DBKU buat masa ini memutuskan bazar Ramadhan ditangguh dan ini tertakluk kepada perkembangan dari masa ke masa selain semua aktiviti ditangguhkan ke suatu tarikh baru jika keadaan wabak terkawal,” ujar beliau yang juga Menteri Muda Bekalan Air.

Namun tambah beliau, Kaunter Pembayaran DBKU masih beroperasi dengan memastikan langkah-langkah kawalan dan pengekangan penularan wabak diambil sewajarnya termasuk membekalkan peralatan dan cecair pencuci tangan.

Turut hadir Datuk Bandar DBKU, Datuk Junaidi Bin Reduan dan Pengarah DBKU Dr Morshidi Ahmad. — DayakDaily