20 barangan dalam senarai SHMMP Krismas 2021

Nanta (kanan) memeriksa harga ayam di sebuah pasaraya di Plaza Merdeka, Kuching hari ini (20 Dis 2021).

KUCHING, 20 Dis: Sebanyak 20 jenis barangan disenaraikan dalam pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2021 berkuat kuasa 23 hingga 31 Disember ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, antaranya adalah ayam, telur ayam, sayuran, daging kambing dan daging babi.

“Permintaan terhadap barangan keperluan asas tertentu dijangka meningkat ketika musim perayaan Krismas yang bakal disambut pada 25 Disember ini.


“SHMMP Krismas adalah langkah untuk menstabilkan harga barangan dan memastikan keberadaan bekalan keperluan asas tertentu sepanjang perayaan ini di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman penentuan harga maksimum barangan harga terkawal SHMMP Krismas 2021 di Plaza Merdeka di sini, hari ini.

Turut disenaraikan kacang panjang, cili merah, tomato, sawi, kobis bulat import (dari Indonesia dan China tidak termasuk Beijing) dan timun.

Nanta berkata, pelaksanaan skim itu tertakluk mengikut peruntukan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), katanya, akan berada di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai membeli-belah seperti pasar awam, pasar tani dan pasaraya untuk menjalankan pemeriksaan dan pemantauan.

“Langkah-langkah ini mencerminkan usaha berterusan bagi melindungi Keluarga Malaysia daripada aktiviti pengambilan keuntungan yang berlebihan oleh peniaga-peniaga yang tidak beretika.

“Kementerian turut mempertingkatkan pemantauan harga melalui Pegawai Pemantau Harga (PPH) yang menjalankan pemantauan harga barangan keperluan asas di seluruh Negara,” katanya.

Tegas Nanta, tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini.

Turut hadir di sidang media itu pengarah KPDNHEP Sarawak Dato Stanley Tan. — DayakDaily