Pasangan suami isteri terselamat selepas pokok tumbang timpa rumah dan van di Batu Niah

Sebuah van rosak teruk akibat dihempap pokok dalam kejadian malam tadi (19 Dis 2021).

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 20 Dis: Sepasang suami isteri di Batu Niah berdepan detik cemas apabila sebatang kayu berhampiran tumbang dan menghempap sebahagian daripada dapur mereka.

Dalam kejadian sekitar jam 11.30 malam itu, sebuah van milik pasangan terbabit turut rosak dihempap kayu tersebut.


“Puji Tuhan, pokok yang tumbang hanya menghempap bahagian dapur rumah dan kereta,” ujar Nyawai Butang, 63, ketika dihubungi.

Menurutnya, pada malam kejadian, beliau bersama isteri, Lucy Engkilan, 48, sedang tidur di dalam bilik utama yang terletak di bahagian hadapan.

“Saya terbangun selepas mendengar bunyi dentuman yang sangat kuat, mujur, kayu yang tumbang itu tidak menghempap bilik tidur utama,” jelas Nyawai.

Nyawai berkata, pada malam kejadian, hujan renyai-renyai dan angin kuat secara tiba-tiba berlaku.

Pokok dianggarkan sebesar dua pemeluk manusia dewasa itu telah tumbang dan menghempap van milik Nyawai dan sebahagian daripada dapur rumahnya.

Semasa kejadian, hanya pasangan terbabit berada di dalam rumah.

Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian.

Sepasukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) dari stesen Batu Niah diketuai Rary Binjie telah bergegas ke lokasi pada 12.28 pagi sebaik sahaja menerima panggilan berhubung kejadian.

Setiba di lokasi, pihak Bomba telah membantu mengalihkan pokok tumbang tersebut.

Operasi selesai pada jam 1.45 pagi. ā€” DayakDaily