Dr Sim sebagai Timbalan Ketua Menteri?

Datuk Sri Alexander Nanta Linggi — file pic

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 20 Dis: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg miliki kuasa prerogatif lantik sesiapa ke jawatan timbalan ketua menteri.

Menurut Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS) Dato Sri Alexander Nanta Linggi, ia adalah keputusan Abang Johari sebagai pengerusi gabungan tersebut.

Beliau ditanya berhubung kemungkinan presiden Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) Datuk Dr Sim Kui Hian dilantik ke jawatan timbalan ketua menteri.

Ini setelah SUPP dibawah pimpinan Dr Sim berjaya menang 13 kerusi daripada 18 kerusi pada Pilihanraya Negeri Ke-12 (PRN) ini.

“Itu adalah kuasa prerogatif ketua menteri. Siapa yang hendak dilantik ke jawatan timbalan ketua menteri adalah keputusan Abang Johari.

“Bagi kita, jika Dr Sim dilantik kita akan sambut baik, bagus,” katanya pada sidang media di Pengumuman Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas di Plaza Merdeka hari ini.

PRN12 ini menyaksikan SUPP merampas kembali beberapa kerusi milik pembangkang termasuk kubu kuat Parti Tindakan Demokratik (DAP) iaitu Pelawan, Bukit Assek, Tanjong Batu dan Kota Sentosa.

SUPP turut menang di Opar, Batu Kitang, Repok, Meradong, Simanggang, Piasau, Pujut dan Senadin

Dr Sim sendiri telah menang di kerusi DUN Batu Kawah dengan majoriti 5,393 undi.

Beliau meraih 7,827 undi mengalahkan pencabarnya yang juga MP Bandar Kuching Dr Kelvin Yii (DAP) yang meraih 2,434 undi, Fong Pau Teck daripada Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (133) dan Chai Kueh Khun (756) dari Parti Bumi Kenyalang. — DayakDaily