1,379 ditangkap untuk penyalahgunaan dadah bulan lepas

Fatimah (dua dari kanan) ketika mengadakan sidang media Laporan Berkala 'One Stop Committee' (OCS) bagi Menangani Isu Dadah dan 'Substance' (MIDS) Negeri Sarawak.

KUCHING, 26 Ogos: Sarawak merekodkan keseluruhannya sebanyak 1,121 kes membabitkan 1,379 tangkapan aktiviti penyalahgunaan dadah dari 1 Julai hingga 31 Julai 2020.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah mendedahkan rekod itu hasil daripada sebanyak 969 operasi yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) pasukan polis Sarawak, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Sarawak dan Jabatan Kastam.

“Sebanyak 56 kes melibatkan 86 tangkapan adalah bagi kesalahan membekalkan dan mengedar dadah dan ‘substance’,” katanya ketika mengadakan sidang media Laporan Berkala ‘One Stop Committee’ (OCS) bagi Menangani Isu Dadah dan ‘Substance’ (MIDS) Negeri Sarawak di pejabatnya di Bangunan Baitulmakmur, Petra Jaya, di sini, hari ini.

Fatimah yang juga Pengerusi OCS terbabit berkata daripada 56 kes melibatkan 86 tangkapan itu pula sebanyak lapan kes membabitkan 18 tangkapan adalah dibawah Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dimana jika disabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak lebih 15 kali.

Selain itu, sebanyak 191 kes itu melibatkan 256 tangkapan pula adalah bagi kesalahan memiliki dadah dan ‘substance’ manakala sebanyak 766 kes membabitkan 735 tangkapan bagi kesalahan positif urin dibawah Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952.

“Manakala dibawah Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Pindaan 1998), Sarawak merekodkan 108 kes melibatkan sebanyak 302 tangkapan hasil daripada 66 operasi yang dijalankan AADK Sarawak,” katanya.

Dari segi rampasan dadah, Fatimah berkata sebanyak 31,812.18 gram atau 31.8 kilogram pelbagai jenis dadah dirampas agensi penguatkuasa narkotik di Sarawak dari tempoh 1 Julai hingga 31 Julai 2020.

Menurutnya sebanyak 30,077.8 gram atau 30 kilogram adalah jenis syabu atau methamphetamine, serbuk Ecstasy (1,444 gram), ketamin (288.63 gram) dan ganja (2.38 gram).

Bagi dadah berbentuk pil, sebanyak 3,982 biji telah dirampas di Sarawak iaitu 1,583 biji adalah pil Eramin 5, pil Ecstasy (1,299 biji) dan pil Nospan (1,100 biji).

“Selain itu, Sarawak juga merekodkan rampasan sebanyak 27 biji benih ganja. Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM2, 887, 848.77,” katanya.

Menurut Fatimah, secara purata jumlah rampasan ini mempu mengurangkan sebanyak 310,138 kali penggunaan oleh 77,146 individu bagi tempoh sebulan.

Beliau juga meminta masyarakat yang mempunyai maklumat tentang aktiviti penyalahgunaan dadah manyalurkan mesej WhatsApp kepada ‘hotline’ JSJN di talian 0122087222 dan ‘hotline’ AADK di talian 019-6262233. — DayakDaily