11,172 penagih dadah dikesan di Sarawak tahun lalu

Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah

KUCHING, Mac 27: Seramai 11,172 penagih dadah telah dikesan di seluruh negeri ini sepanjang tahun lalu.

Pengerusi Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Kuching merekodkan jumlah tangkapan penagih dadah tertinggi iaitu sebanyak 3,365 orang.

Katanya, ia diikuti Miri dengan mencatatkan 1,079 orang dan Bintulu 837 orang, manakala Betong merekodkan jumlah kes terendah iaitu sebanyak 142 orang.


“Berdasarkan rekod, penggunaan dadah paling popular ialah syabu diikuti ganja, ekstasi, pil eramin 5 serta nospan,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah Peringkat Negeri di sini hari ini.

Sementara itu, Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan memberitahu, lebih banyak anjing pengesan dadah yang terlatih sebagai salah satu langkah membanteras kemasukan dadah di negeri ini.

Katanya, buat masa ini, Sarawak hanya memiliki enam ekor anjing pengesan dadah yang terlatih dan jumlah tersebut ternyata belum mencukupi.

“Kita perlu menambah bilangan anjing pengesan dadah yang terlatih khususnya bagi mengesan kemasukan bahan terlarang itu ke negeri ini.

“Saya akan mengemukakan cadangan penambahan anjing pengesan dadah yang terlatih dalam Mesyuarat Kabinet Negeri kelak,” ujarnya lagi. — DayakDaily