Enam suspek merusuh depan Balai Polis Batu 10 direman tiga hari

Keadaan rusuhan di Balai Polis Batu 10.

KUCHING, Mac 27: Enam lelaki yang terlibat dalam insiden rusuhan di hadapan Balai Polis Batu 10, Kota Padawan di sini semalam ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini.

Kesemua suspek berusia antara 20 hingga 27 tahun itu direman bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan khianat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata, siasatan awal mendapati punca kejadian adalah susulan insiden memecah dan merosakkan sebuah kereta di Pasar Raya Giant, Batu 10 di sini.


Menurutnya, keenam-enam suspek kemudian pergi ke Balai Polis Batu 10 untuk membuat laporan polis sebelum tercetusnya kekecohan di hadapan balai tersebut.

“Semua suspek yang terlibat dalam rusuhan itu telah diberkas selepas klip video berhubung kekecohan tersebut viral dalam media sosial dan Facebook.

“Video insiden berkenan telah menerima banyak komen negatif seperti kegagalan pasukan polis bertindak mengawal keadaan yang tercetus di hadapan Balai Polis Batu 10,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dev menambah, buat masa ini pihak polis masih menyiasat insiden itu secara menyeluruh.

“Kita belum lagi dapat mengulas lanjut tentang insiden berkenaan sehingga siasatan dalaman selesai dilakukan,” katanya lagi. — DayakDaily