Zharudin: PAS tidak jalin kerjasama dengan GPS

Zharudin Narudin

KUCHING, OKTOBER 19: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Sarawak tidak pernah menjalin kerjasama rasmi dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS), tegas ketua penerangannya, Zharudin Narudin.

Oleh yang demikian, beliau tertanya-tanya dengan kenyataan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nasar baru-baru ini bahawa ideologi dan doktrin PAS tidak diterima di Sarawak.

“Sebagai Speaker Dewan, beliau sepatutnya bebas dari cengkaman politik kepartian atau peribadi.


“Ia juga seolah menghina penyokong PAS di Sarawak dimana mereka terdiri daripada anak jati tempatan dan bukan orang asing,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.

Tambah Zharudin, Mohd Asfia tidak seharusnya berasa takut dengan kehadiran PAS di Sarawak dan menyifatkan speaker itu lupa akan kekuatan PAS selama ini.

Katanya, pertempuran di kerusi kuat PAS adalah sengit diantara Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) seperti di DUN Beting Maro dan Sebuyau.

“Malah kekuatan sekutu DAP (Parti Tindakan Demokratik) di situ tiada langsung sehinggakan undi mereka lagi rendah dari undi rosak di Beting Maro iaitu sebanyak 103 undi berbanding undi rosak sebanyak 104 undi.

“Perlu diingat kekuatan penyokong PAS di sini bertahan walaupun PAS tidak bersama mana-mana gabungan sejak pilihanraya negeri dan umum,” katanya.

Ujar beliau lagi, PAS terus melangkah tanpa hilang deposit dan untuk rekod, undi PAS adalah sebanyak 3,051 berbanding calon PBB sebanyak 4,758.

Zharudin yakin sokongan padu para ahli PAS dan penyokong tegar di DUN tradisi PAS akan menggoyahkan PBB-GPS.

“PAS akan terus bertanding di Sarawak dan kerusi tradisi ini sudah tentu tidak akan dilepaskan.

“Sokongan padu para pengundi di sini adalah bukti mereka memahami perjuangan PAS yang tidak sempit dan bersifat kenegerian seperti GPS yang mungkin kurang sesuai dalam membentuk semangat federalisme,” ujar beliau. — DayakDaily