LHDN Sarawak catat RM4.6 bilion cukai langsung sehingga November 2018

Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia logo

Oleh Dean Adam

KUCHING, Dis 20: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Malaysia menyeru kepada semua pembayar cukai di Sarawak yang mempunyai isu pematuhan cukai agar merebut tawaran Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) yang diumumkan oleh bkerajaan pada pembentangan Belanjawan 2019.

Program Khas Pengakuan Sukarela yang bermula pada November 3, 2018 dan akan tamat pada Jun 30, 2019 itu menawarkan kadar penalti yang sangat rendah iaitu hanya 10 peratus dan 15 peratus berbanding kadar penalti asal yang lebih tinggi iaitu 80 peratus sehingga 300 peratus bermula Julai 1, 2019.

LHDN dalam satu kenyataan media memberitahu, dalam tempoh sebulan PKPS dilancarkan, kira-kira 83 pembayar cukai pelbagai kategori di Sarawak telah membuat pengisytiharan cukai dengan amaun cukai tambahan dan penalti yang ditaksir hampir RM3.2 juta.

Kata LHDN, daripada jumlah tersebut, hampir RM450,000 amaun cukai dan penalti direkodkan oleh LHDNM Cawangan Sibu.

“Untuk rekod, kutipan cukai langsung untuk negeri Sarawak sehingga bulan November 2018 adalah RM4.6 bilion, meningkat 1.5 peratus berbanding kutipan dalam tempoh sama pada 2017.

“Manakala kutipan cukai langsung yang direkodkan oleh LHDNM Cawangan Sibu sehingga bulan November 2018 adalah RM643 juta, meningkat hampir 2.3 peratus berbanding tempoh sama pada tahun lepas,” kata LHDN dalam satu kenyataan media hari ini.

LHDN menambah, pengakuan sukarela itu boleh dibuat di mana-mana pejabat LHDN Malaysia di seluruh negara.

Tambah LHDN, bagi keterangan dan maklumat lanjut, pembayar cukai boleh melawati portal rasmi LHDNM di pautan www.hasil.gov.my atau klik di pautan www.hasil.gov.my/pdf/pdfam/GO_012018_01.pdf untuk memuat turun Garis Panduan Operasi Bilangan 1 Tahun 2018 yang bertajuk ā€œProgram Khas Pengakuan Sukarelaā€ sebagai rujukan.

Sebarang pertanyaan mengenai pengakuan sukarela ini boleh diajukan kepada Hasil
Careline di talian 1-800-88-5436 atau 603-7713 6666 (Luar Negara) atau e-mel
pengakuansukarela@hasil.gov.my. ā€” DayakDaily