Pesara Petronas berjaya elak ditipu ‘Macau scam’

Scam alert. — DayakDaily.com file pic // Photo: Pixabay

Oleh Dean Adam

MIRI, Dis 20: Seorang pesara Petronas di sini berjaya mengelak daripada menjadi mangsa penipuan ‘Macau scam’ meskipun dikatakan terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.

Kes melibatkan pesara berusia 57 tahun tersebut dilaporkan oleh anak lelakinya di sini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Sarawak, Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah berkata, berdasarkan laporan diterima, mangsa dikatakan telah menerima panggilan daripada seorang lelaki dengan menggunakan nombor 067682230 dan 0321866666.

Katanya, lelaki berkenaan kemudian mengatakan ayah si pengadu telah terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.


“Suspek tersebut juga memberitahu sekiranya mahu menutup kes itu, ayah si pengadu perlu membuat bayaran sebanyak RM3,000.

“Bagaimanapun, ayah si pengadu kemudian menafikan terlibat dalam perkara tersebut,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mustafa memberitahu, suspek juga memaklumkan supaya pesara terbabit tidak memberitahu perkara itu kepada orang lain kononnya ia merupakan rahsia polis.

Katanya, mangsa yang risau perkara yang tidak diingini berlaku di kemudian hari kemudian meminta anaknya membuat laporan polis.

“Laporan polis dibuat supaya butir-butir peribadi tidak disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab pada masa depan.

“Dalam kes ini, mangsa berjaya mengekal daripada mengalami sebarang kerugian,” katanya. — DayakDaily