Wanita PKR Sarawak: Kenyataan Abdul Karim terhadap Pandelela tidak munasabah

Parti Keadilan Rakyat logo.

KUCHING, 8 Mei: Pergerakkan Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak menyifatkan kenyataan Menteri Belia Dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah terhadap pencapaian Pandelela Rinong sebagai satu kenyataan seorang menteri yang terimidatasi dan dengki.

Katanya, alasan atlit tersebut masih belum layak dianugerahkan gelaran Datuk atas sebab ratu terjun itu tidak akan dapat menikmati masa mudanya merupakan satu kenyataan yang tidak munasabah.

“Pemberian anugerah kepada individu yang mengharumkan nama Malaysia di mata dunia adalah satu tindakan yang wajar dan tidak seharusnya didengki.

“Umur dan gender seseorang tidak sepatutnya menjadi kayu ukur atau persoalan dalam pemberian anugerah lebih lagi apabila individu tersebut sudah mengharumkan nama negara,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Katanya, memanipulasikan faktor usia sebagai pengukur dalam mempertimbangkan kelayakan seseorang menerima penganugerahan gelaran Datuk merupakan satu mentaliti sempit selain memberi gambaran seseorang terancam yang dengan pencapaian atlet wanita terbabit.


Jelasnya, Ratu Squash negara, Datuk Nicol Ann David menerima anugerah gelaran Datuk ketika beliau berusia 25 tahun iaitu usia yang tampak lebih muda daripada usia Pandelela ketika ini.

Pada masa sama ujar kenyataan itu, tiada bukti kajian saintifik yang membuktikan pemberian anugerah gelaran Datuk telah menyebab prestrasi ratu squash itu jatuh merudum mahupun tampil bersikap manja atau ‘spoiled’ seperti yang dinyatakan oleh Abdul Karim.

“Wanita PKR Sarawak menyarankan Abdul Karim untuk berhenti bersikap seperti setahun jagung dan berubahlah bersikap matang dan menghargai pengorbanan atelit negeri ini khasnya Pandelela Rinong yang berkali kali mencipta sejarah dan mengharumkan nama Malaysia,” kata kenyataan itu.