Wan Junaidi: Sejarah pembinaan Jajaran Telok Melano-Sematan

Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar

KUCHING, Jan 26: Telok Melano merupakan salah satu daripada sektor Lebuh Raya Pan Borneo yang mempunyai cerita dan sejarah tersendiri.

Ahli Parlimen Santubong Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata projek itu bermula pada tahun 2006, ketika beliau menjadi Ahli Parlimen yang merangkumi kawasan Tanjung Dato.

Menurutnya, ketika menjadi ahli parlimen di situ, beliau dimaklumkan bahawa penduduk Telok Melano memerlukan jalan ke Lundu bagi menyenangkan mereka untuk mendapatkan keperluan dari Lundu atau Sematan pada musim tengkujuh.


“Saya telah berbincang dengan Tan Sri (Pehin Sri) Adenan Satem dan kami bersetuju untuk mendapatkan bantuan dana dari Kerajaan Persekutuan.

“Tetapi Tan Sri Adenan kena mendapat persetujuan untuk membina jalan raya yang melalui Pusat Hidupan Liar dan Taman Negara Samusam dan ketika itu, hanya ketua menteri (ketika itu Tun Abdul Taib Mahmud) sahaja yang boleh memberi kebenaran itu,” katanya dalam laman Facebook rasminya hari ini.

Wan Junaidi menambah, selepas itu, beliau telah berbincang dengan Pemanca Bujang dan Abu Seman mengenai keadaan Taman Negara Samusam.

Jelasnya, oleh kerana ketua menteri bimbang apabila jalan dibina terdapat beberapa pihak yang akan memusnahkan kawasan tersebut.

“Sehubungan itu, saya menjemput pegawai Jabatan Hidupan Sarawak dan Sarawak Forestry Corporation untuk berbincang di pejabat saya dan mendapat pengesahan dari penduduk mengenai keadaan di Samusam.

“Sementara itu, saya mendapat pihak JKR untuk melukis pelan dan membuat anggaran kos pembinaan jalan raya tersebut. Saya juga berbincang dengan pihak pegawai JKR mengenai rekabentuk jalan, penjajaran jalan, serta jenis jambatan yang bakal dibina,” katanya.

Seterusnya kata Wan Junaidi, pegawai dari JKR kemudian memberi taklimat kepadanya mengenai rekavbentuk, penjajaran, jenis jambatan, serta anggaran kos.

Ujarnya, beliau juga telah membincangkan dengan terperinci dengan JKR mengenai cara untuk mendapatkan perunutkan RM210 juta bagi membina jalan JKR R3, dengan lima jambatan yang menyeberangi lima batang sungai.

“Saya kemudian melakukan perjumpaan dengan perdana menteri, ketika itu Datuk Seri Najib Tun Razak, dan menulis surat untuk mendapatkan dana.

“Perdana menteri seterusnya bersetuju untuk memberi peruntukan sebanyak RM210 juta, tetapi beliau menasihatkan saya untuk berbincang dengan Datuk Seri Fadillah Yusof (yang merupakan Menteri Kerja Raya ketika itu) untuk melibatkan jalan Telok Melano sebagai sebahagian daripada Pan Borneo.

“Saya kemudian memaklumkan perkara ini kepada Tan Sri Adenan bahawa membina jalanraya di sana tak akan membuat perubahan terhadap situasi itu.

“Beliau berjanji akan berbincang lagi dengan ketua menteri. Kemudian, Konvensyen PBB yang diadakan di BCCK (pada tahun 2010), Tan Sri Adenan memberitahu saya bahawa ketua menteri telah bersetuju untuk membina jalan tersebut.

“Tidak lama kemudian, Tan Sri Adenan memaklumkan saya bahawa kerajaan negeri telah bersetuju untuk meletakkan Telok Melano ke Sematan sebagai sebahagian daripada jalan persekutuan.

“Di saat itu, JKR Negeri kena memaklumkan Kementerian Kerja Raya secara rasmi.

“Maka selebihnya dari itu adalah sejarah. Saya telah memberitahu kepada orang ramai, dari pandangan penglibatan saya dalam perancangan dan kelulusan jalan Telok Melano,” katanya. — DayakDaily