Wan Junaidi: 56 rakyat Malaysia masih terkandas di Nigeria

Wan Junaidi (duduk tengah) pada sidang media di Kuching hari ini.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 13 Jun: Kelewatan Nigeria memuktamadkan protokol dan prosedur operasi standard (SOP) adalah penyebab 56 warganegara Malaysia yang terkandas di negara tersebut belum dapat dibawa balik.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata 13 daripada mereka adalah rakyat Sarawak.


Katanya, SOP dan protokol itu perlu kerana Nigeria juga mahukan rakyat mereka yang berada di Malaysia dibawa balik.

“Penerbangan ini sedang diuruskan. Tetapi masalahnya sekarang ialah Nigeria belum bersedia dengan SOP dan protokol untuk menerima kepulangan rakyat mereka ini.

“Persoalannya, secepat mana Nigeria boleh memuktamadkan SOP dan protokol ini? Kalau Malaysia, kita boleh menyiapkannya dalam tempoh seminggu,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Tambah Wan Junaidi, 56 rakyat Malaysia ini yang kebanyakan terlibat di dalam industri minyak dan gas telah terkandas di kapal dan pelantar minyak di negara tersebut sejak penularan wabak Covid-19.

Sejak itu katanya, Lapangan Terbang Lagos telah ditutup dan Kerajaan Malaysia menerusi kedutaannya telah berbincang dengan Kerajaan Nigeria untuk menguruskan penerbangan khas membawa mereka balik.

Menurut beliau lagi, walaupun Turkish Airlines dibenarkan terbang ke Lagos, Kerajaan Malaysia tidak mahu mereka yang terkandas itu menaiki penerbangan tersebut.

“Kita tidak mahu mereka nanti terbang dari Lagos ke Turki, kemudiannya terkandas di Turki pula.

“Lebih baik mereka berada di Lagos kerana majikan telah menjaga mereka dengan baik.

“Oleh sebab itu kerajaan Malaysia masih menunggu Nigeria memuktamadkan SOP dan protokol menerima rakyat mereka balik,” ujar Wan Junaidi.

Sebelum ini dilaporkan seorang anak Sarawak, Malcolm Goh memaklumkan mereka terkandas di Lagos sejak ketibaan di negara tersebut pada 7 Februari.

Pelbagai usaha telah diambil untuk kembali tetapi disebabkan tiada penerbangan, maka mereka terus terkandas di negara itu.-DayakDaily