Bank Rakyat diwujudkan di luar bandar Sarawak, kata Wan Junaidi

Wan Junaidi (dua dari kanan) menyerahkan bantuan Pembangunan Koperasi SKM kepada wakil Koperasi Krokong Bau Berhad di Kuching hari ini.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 13 Jun: Cawangan Bank Rakyat akan diwujudkan di kawasan luar bandar Sarawak, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Menurut beliau sasaran adalah di kawasan berpenduduk tinggi dan memiliki aktiviti ekonomi yang memerlukan sistem perbankan.


“Bank komersil yang besar seperti Maybank dan CIMB tidak menyediakan perkhidmatan di luar bandar.

“Sekurang-kurangnya bank kerajaan di bawah kementerian seperti Bank Rakyat boleh memperluaskan perkhidmatan ke luar bandar,” kata Wan Junaidi.

Beliau berkata demikian pada sidang media setelah mengadakan perjumpaan bersama ketua-ketua agensi di bawah MEDAC di Bank Rakyat cawangan Simpang Tiga di sini, hari ini.

Dengan wujudnya bank tersebut kelak tambah Wan Junaidi, ia memudahkan penduduk untuk menyimpan duit, melabur, membuat pinjaman dan sebagainya.

Pada sidang media yang sama, MP Santubong itu turut memaklumkan bahawa MEDAC akan membuat sedikit perubahan pada operasi koperasi khususnya di Sarawak.

Beliau ingin koperasi tidak hanya melibatkan pinjaman kewangan kepada ahli-ahlinya sahaja.

“Kita mahu koperasi juga terlibat di dalam industri dan hanya dengan cara itu ia boleh meningkat.

“Kalau hanya memberikan pinjaman kewangan kepada ahli-ahli sahaja, tiada kemungkinan koperasi meningkat dan ini tidak membantu usaha kerajaan negeri membangunkan industri,” katanya.

Terdahulu Wan Junaidi menyempurnakan penyerahan pembiayaan Tabung Modal Pusingan Jabatan Pembangunan Koperasi berjumlah RM200,000 kepada empat koperasi.

Empat koperasi yang lain turut menerima bantuan Pembangunan Koperasi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sebanyak RM240,000.

Seramai 10 usahawan pula menerima bantuan RM10,000 melalui Skim Pembiayaan Pemulihan Perniagaan Sektor Mikro (CBRM) TEKUN Nasional. -DayakDaily.