Pinda Undang-Undang Muflis, pinta Wan Junaidi

Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar

Oleh Chris Bishop

KUCHING, JUN 13: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar mohon kerajaan pinda Undang-Undang Muflis.

Katanya, undang-undang tersebut dilihat tidak berlaku adil kepada individu muflis.

“Masalahnya sistem kita, individu muflis tidak dibenarkan melakukan apa-apa.

“Jadi saya selalu memohon, kalau individu muflis tidak boleh melakukan perniagaan, bagaimana beliau hendak menyelesaikan hutang.


“Akhirnya individu tersebut akan muflis seumur hidup,” katanya pada sidang media di Kuching hari ini.

Wan Junaidi yang juga MP Santubong menjawab soalan pemberita sama ada individu muflis boleh memohon bantuan daripada TEKUN Nasional.

Perkara tersebut menurut beliau lagi telah dibincangkan dengan Menteri Undang-Undang.

Katanya, pindaan perlu agar individu muflis boleh bekerja, melakukan perniagaan dan seterusnya mampu membayar hutang.

“Kalau tidak bagaimana hendak menyelesaikan hutang. Sekali muflis umur baru 20-an dan kalau tiada perniagaan sampai mati muflis.

“Undang-undang ini tidak boleh dan tiada keadilan langsung,” tegas Wan Junaidi.—DayakDaily