Venessa Tinella juara Ratu Cantik Miss Tagang 2019

Pemenang pertandingan ratu cantik Miss Tagang 2019, Vanessa ( tengah) diapit Lidya (kiri) dan Suziana (kanan).

KUCHING, Sept 1: Pertandingan Ratu Cantik Miss Tagang 2019 telah dijuarai pelajar Unitar International University dari Kampung Semeba, Vanessa Tinella Patrus, 18 dan menerima hadiah RM1,500.

Dalam Majlis Pertandingan Ratu Cantik Miss Tagang 2019 sempena Festival Tagang Antarabangsa Semadang 2019 di Kampung Semadang Ke-5, di Padawan, di sini, semalam, beliau mengalahkan 10 peserta akhir pertandingan itu dengan naib juara ialah Lydia Yuareena Abdul Ellias, 25 yang menerima hadiah RM1,000 dan tempat ketiga ialah Suziana Damik, 22, yang menerima hadiah RM500.

Manakala Pertandingan Memancing Festival itu dijuarai Adress Jihog dari Bau yang mendapat ikan lampam seberat 1.8 kilogram dan Pertandingan Tarian Tradisional Bidayuh dan Bermain Gong pula dimenangi Kelab Kebudayaan Kampung Segu Bunuk serta Pertandingan Memasaknya dimenangi Geogina Clare Nyotis dan Nejee Nyotis.


Menteri Muda Pengangkutan, Datuk Dr Jerip Susil yang berhadir di majlis itu berharap penduduk kampung di Padawan terutama sepanjang tebingan Sungai Semadang diminta menjaga kebersihan sungai yang menjadi sumber air kepada loji rawatan air di Batu Kitang.

Beliau berkata loji rawatan air itu akan memproses air yang disedut dari sungai itu dan menyalurkan kepada penduduk Kuching dan Kota Samarahan.

“Jadi, Sungai (Semadang) ini adalah untuk sumber minuman kita semua bukan sahaja di Kuching tetapi keseluruhan Kota Samarahan. Air (paip) yang pergi ke rumah kita (kampung di Padawan) sekarang juga dari sungai ini,” katanya ketika menghadiri Majlis Pertandingan Ratu Cantik Miss Tagang 2019 sempena Festival Tagang Antarabangsa Semadang 2019 di Kampung Semadang Ke-5, di Padawan, di sini, semalam.

Dr Jerip (lima dari kiri) bersama peserta dan pemenang Miss Tagang 2019 di Kampung Semadang semalam.

Dr Jerip berkata berikutan itu amat penting penduduk kampung di Padawan menjaga kebersihan Sungai Semadang dengan tidak membuang sampah atau najis dari rumah mereka terus ke sungai itu supaya airnya sentiasa selamat diminum.

Katanya ini kerana najis yang dibuang ke dalam sungai boleh menyebabkan pembiakan bakteria e-coli yang akan membunuh ikan dalam sungai terbabit dan juga boleh membahayakan manusia yang meminum airnya.

Sehubungan itu, beliau mengalakkan penduduk kampung di Padawan digalakkan mengadakan sistem tagang di sepanjang sungai terbabit bagi membela ikan seperti system yang ada di Kampung Danu dan Git kerana sungai masih bersih.

“Ini hanya tagang ikan, kalau ikan (ditagang dalam sungai terbabit mati), ini mungkin disebabkan sungai ini tidak cukup oksigen, tercemar dan sebagainya,”katanya.

Beliau mengumumkan geran sebanyak RM50,000 kepada penganjur festival tiga hari itu iaitu JKKK Kampung Semadang, Jabatan Pertanian Sarawak dan Jawatankuasa Sistem Tagang Kampung Semadang dan festival juga dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Kesenian, Kebudayaan dan Pelancongan serta Kementerian Pengangkutan Sarawak. — DayakDaily