Filem ‘Sumpahan Jerunei’ paparkan sejarah misteri kaum Melanau

Abdul Karim (dua dari kanan) terlibat di dalam satu babak Filem Sumpahan Jerunei.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Sept 1: Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah menaruh harapan tinggi filem ‘Sumpahan Jerunei’ bakal mendapat sambutan ‘box office’ yang baik.

Dijayakan melalui usahasama kerajaan negeri, kementerian beliau dan One Filem Production, filem tersebut menampilkan sejarah yang berkaitan kaum Melanau di Sarawak.


“Harapan kita semoga filem dapat diterima dan mendapat sambutan ‘box office’.

“Pengambaran telah dibuat di Mukah, Siburan, Kampung Budaya Sarawak di Santubong dan di Taman Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa lawatan ke set pengambaran filem tersebut yang diadakan di Taman DBKU hari ini.

Pada lawatan tersebut, Abdul Karim juga terlibat di dalam satu babak filem bersama pelakon utama Uqasha Senrose.

Filem ini memaparkan tentang sejarah silam kaum Melanau yang penuh misteri terutama berkaitan dengan adat pengebumian golongan bangsawan Melanau.

Pada masa ini, tinggalan sejarah jerunei ini masih kelihatan di Kampung Tellian Tengah, Mukah.

Bagi masyarakat tempatan di Mukah, jerunei merupakan tempat persemadian terakhir untuk golongan yang dihormati kaum Melanau atau golongan raja, bangsawan, pemimpin tinggi, dan saudagar-saudagar yang bersifat dermawan. — DayakDaily