Lelaki nyaris maut, van dipandunya terbakar

Kelihatan sebuah van yang musnah terbakar.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Sept 1: Seorang lelaki berdepan dengan detik mencemaskan apabila van yang dipandunya tiba-tiba terbakar di Jalan Taman Budaya di sini petang tadi.

Kejadian kira-kira pukul 2.55 petang itu mengakibatkan sebuah van terbakar 100 peratus.


Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 2.59 petang.

Katanya, sepasukan anggota bomba kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi memadam.

“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati pemandu van yang berusia 54 tahun telah berjaya keluar menyelamatkan diri.

“Pasukan bomba kemudian bertindak memadam kebakaran dengan menggunakan dua aliran salur bantu mula air dari tangki jentera bomba,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, kebakaran kenderaan itu dikawal sepenuhnya pada pukul 3.08 malam.

“Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 3.14 petang selepas keadaan di lokasi kejadian dalam keadaan terkawal,” katanya. — DayakDaily