Usahawan kecil Bumiputera digesa rebut peluang modal dari Tekun Nasional

Nogeh (tiga dari kanan) menyerahkan cek replika Tekun Nasional kepada wakil penerima.

KUCHING, Mac 28: Usahawan kecil Bumiputera wajar merebut bantuan modal yang disediakan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (Tekun Nasional) bagi memajukan bidang perniagaan masing-masing.

Timbalan Menteri Pertanian dan Asas Tani, Datuk Anthony Nogeh Gumbek berkata, Tekun Nasional akan memastikan usahawan kecil mendapat bantuan kewangan untuk mempertingkatkan taraf ekonomi terutamanya bagi golongan Bumiputera.

Jelas beliau, peluang untuk usahawan Bumiputera meningkat maju bersama dengan peniaga lain seperti Cina dan India dalam bidang perniagaan terbuka luas dan tidak terhad disebabkan modal sahaja.


“Kita tahu modal merupakan masalah paling besar yang dihadapi golongan Bumiputera untuk memulakan perniagaan; justeru Tekun Nasional bersedia membantu mereka bila-bila masa,” katanya semasa Majlis Sukut Perkhidmatan Sokongan MAHA 2018 di Lundu, baru-baru ini.

Dalam majlis itu, Nogeh telah menyampaikan cek replika Tekun Nasional sebanyak RM4,236,000 kepada wakil usahawan kecil Bumiputera di Sarawak.

Ahli Parlimen Mas Gading itu menambah, beliau berharap penerima bantuan itu agar berjaya dalam bidang perniagaan mereka dan memperingatkan mereka supaya tidak liat membayar hutang mereka bagi memastikan agensi berkenaan dapat terus membiayai usahawan lain pada masa depan.

Katanya, pembayaran semula pinjaman secara konsisten penting bagi memastikan Tekun Nasional tidak berkubur, sekali gus dapat membantu peniaga generasi akan datang.

“Kerajaan sediakan dana khas ini untuk bantu peniaga kecil dan usahawan, tetapi kalau tidak bayar balik, dari mana kita hendak ambil modal untuk disalurkan kepada peniaga berikutnya.

“Jadi, kita harap usahawan-usahawan kecil yang meminjam dengan pihak Tekun membayar balik pinjaman agar dapat memberi pinjaman buat usahawan baru pula,” jelasnya. — DayakDaily