Penantian penduduk Bario nikmati bekalan air bersih bakal berakhir

Dr Rundi (berdiri tiga dari kanan) menunjukkan tanda bagus selepas merasmikan projek bekalan air luar bandar di Bario.

BARIO, Mac 28: Penantian lebih 1,000 penduduk di Bario untuk menikmati bekalan air bersih sejak berpuluh tahun lalu bakal berakhir apabila projek bekalan air luar bandar dilaksanakan baru-baru ini.

Menteri Utiliti Sarawak, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata, projek bernilai RM25 juta itu telah dilaksanakan mulai Mac 6 lalu dan dijangka siap menjelang Mac 2020.

Menurutnya, projek itu menjadi bukti kerajaan tidak meminggirkan mana-mana kawasan di seluruh negeri ini daripada menikmati kemudahan infrastruktur asas seperti bekalan air dan elektrik, termasuk jalan raya.


“Apabila projek ini siap kelak, ia akan memberi manfaat kepada lebih 1,000 penduduk dari Arur Dalan, Bario Asal, Arur Layun, Bued Main Beruh, Ulung Palang B, Pa’Ramapuh A, Pa’Ramapuh B, Padang Pasir, Kampung Baru, Pa’umor, Pa’Ukat, Pa’Lungan dan Pa’Derung.

“Hari ini, kita telah menunaikan janji Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem yang ketika masih hayat mengumumkan akan menyediakan kemudahan bekalan air bersih untuk masyarakat di Bario,” katanya selepas merasmikan projek bekalan air luar bandar di Bario semalam.

Sementara itu, Dr Rundi memberitahu, kementeriannya telah menyasarkan semua kawasan luar bandar di negeri ini akan dibekalkan dengan kemudahan asas menjelang 2025.

“Inilah keistimewaan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang sentiasa mendengar rintihan dan mencuba sedaya upaya untuk menyelesaikan masalah rakyat.

“Oleh itu jangan lupa untuk memberi sokongan padu kepada BN dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 kelak,” katanya lagi. — DayakDaily