Perodua Myvi rempuh Toyota Hilux, seorang lelaki maut

Keadaan di lokasi kemalangan di Jalan Sibu-Tanjung Manis.

SIBU, Mac 28: Malang menimpa seorang lelaki apabila dia maut selepas kereta Perodua Myvi yang dipandunya bertembung dengan Toyota Hilux di Jalan Sibu-Tanjung Manis di sini semalam.

Kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu mengakibatkan mangsa, Mohamad Hazlee Kiprawi, 35, meninggal dunia di lokasi insiden selepas mengalami kecederaan parah.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt. Alexson Naga Chabu berkata, kejadian sama turut mengakibatkan seorang penumpang wanita berusia 23 tahun cedera parah.


Katanya, pemandu Toyota Hilux pula dilaporkan tidak mengalami kecederaan meskipun bahagian depan kenderaan tersebut remuk teruk.

“Kejadian dipercayai berlaku apabila Perodua Myvi yang dipandu mangsa tiba-tiba hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan Toyota Hilux.

“Kesan perlanggaran itu mengakibatkan kedua-dua kenderaan remuk teruk di bahagian depan dan mangsa pula tersepit di tempat duduk pemandu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Alexson menambah, polis sudah mengambil keterangan daripada pemandu Toyota Hilux untuk siasatan lanjut.

Jelasnya, mayat mangsa telah dihantar ke hospital untuk dibedah siasat sebelum dituntut oleh ahli keluarganya.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya lagi. — DayakDaily