TEKUN sasarkan pemberian pinjaman perniagaan sebanyak RM25 juta di Sarawak

Mohamad Suparadi (dua dari kiri) menyampaikan anugerah TEKUN Nasional kepada kakitangannya di Majlis Perjumpaan Pengerusi TEKUN Bersama Warga Kerja Negeri Sarawak.

KUCHING, Jan 22: Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional mensasarkan memberikan pinjaman perniagaan mencecah sebanyak RM25 juta kepada seramai 1,871 usahawan kecil di Sarawak sepanjang tahun ini.

Pengerusi TEKUN Nasional, Dato Sri Mohamad Suparadi Md Noor berkata pihaknya menetapkan sasaran itu selepas tahun lepas Sarawak mampu menjadi negeri kedua terbaik dari segi kutipan semula pinjaman itu dari usahawan kecil.

“Berikutan itu bagi 2019 pula, kami mensasarkan (memberikan pinjaman perniagaan kepada) hampir seramai 1,871 usahawan yang berjumlah lebih kurang RM25 juta di seluruh Sarawak. Itu bergantung dan mungkin juga kami akan memberi lebih (banyak pinjaman perniagaan) memandangkan permintaan yang ada dan kesungguhan TEKUN negeri ini yang begitu terserlah,” katanya ketika menghadiri Majlis Perjumpaan Pengerusi TEKUN Bersama Warga Kerja Negeri Sarawak, di sini, hari ini.


Mohamad Suparadi yang dilantik sebagai Pengerusi TEKUN Nasional pada Oktober 26 lepas berkata tahun lepas tabung itu telah mengeluarkan pinjaman perniagaan mencecah RM23.9 juta kepada seramai 1,511 usahawan kecil di Sarawak.

Manakala sejak 20 tahun lepas, TEKUN Nasional sudahpun mengeluarkan pinjaman terbabit sehingga mencecah RM267 juta bagi membantu seramai 47,000 usahawan kecil di negeri ini.

“Di Sarawak, satu kebangaan kami ialah lebih ramai peminjam dari golongan (usahawan kecil) wanita atau hampir 68 peratus dan mereka juga mempunyai rekod pembayaran pinjaman lebih baik berbanding peminjam lelaki,” katanya.

Walaupun mempunyai rekod pembayaran semula pinjaman lebih baik dari lelaki, pihaknya tidak bercadang memberikan sebarang keistimewaan kepada usahawan kecil wanita di negeri ini yang memohon pinjaman tetapi pihaknya akan lebih berani memberikan mereka jumlah pinjaman yang lebih besar kerana risikonya lebih kecil.

Disamping itu Suparadi juga mendedahkan telah mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pagi tadi dan hasil pertemuan itu memutuskan akan bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi membantu usahawan tempatan melalui Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Usahawan.

“Skop (kerjasama) yang akan kami utamakan ialah bidang pertanian dimana kerajaan pusat juga akan bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam menyediakan tanah yang akan mengeluarkan hasil pertanian dan menjadikan Sarawak sebagai hub pertanian,”katanya.

Beliau bagaimanapun tidak dapat memberikan butiran mengenai keluasan tanah terbabit kerana perkara berkenaan masih dalam perbincangan antara kerajaan negeri dengan kerajaan pusat.

Sementara itu, di kenyataan media TEKUN Nasional, berdasarkan Bajet 2019 kerajaan pusat, tabung itu akan menerima sebanyak RM350 juta tahun ini dan mensasarkan membantu seramai 25,000 usahawan mikro.

Dari jumlah itu sebanyak RM330 juta akan disediakan untuk seramai 23,700 usahawan Bumiputera manakala RM20 juta lagi untuk 1,300 usahawan masyarakat India. — DayakDaily