Unicef seru kerajaan PH lantik Pesuruhjaya Kanak-Kanak

Unicef Malaysia

KUCHING, Mei 15: Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) di Malaysia menyeru kerajaan yang baru dipilih untuk melantik seorang Pesuruhjaya Kanak-Kanak.

Unicef dalam satu kenyataan hari ini berkata, pelantikan Pesuruhjaya Kanak-Kanak itu adalah sebagai penasihat bebas untuk memantau hak dan kesejahteraan golongan kanak-kanak, serta mengusahakan kepentingan mereka dalam segala undang-undang dan dasar.

Kata Unicef, dengan adanya seorang wakil khas yang tertumpu kepada isu kanak-kanak, seseorang itu boleh melapor langsung kepada Parlimen dengan amanah untuk mengutarakan kepentingan kanak-kanak di negara ini.


“Ini juga akan menggalakkan jabatan-jabatan yang berlainan untuk menyelaraskan usaha mereka dan sama-sama memperjuangkan undang-undang, dasar dan perkhidmatan yang lebih baik untuk kanak-kanak.

“Sehubungan itu, kami (Unicef) amat menantikan peluang kerjasama dengan kerajaan yang baru dipilih dalam visinya untuk membina sebuah negara di mana hak setiap kanak-kanak didukung, suara mereka didengari dan tiada sesiapa pun yang ketinggalan,” kata Unicef dalam satu kenyataan media hari ini.

Unicef berkata, ketika ini, lebih daripada 60 buah negara di seluruh dunia telah mewujudkan pesuruhjaya bebas untuk kanak-kanak dan belia seperti di New Zealand, Australia dan United Kingdom.

Ujar Unicef, pihaknya sentiasa bersedia untuk membantu kerajaan Malaysia untuk mewujudkan seorang Pesuruhjaya Kanak-Kanak dengan menyediakan bimbingan dan bantuan teknikal untuk memberi perkhidmatan yang lebih bagus bagi golongan kanak-kanak.

“Unicef sentiasa mengalu-alukan pertimbangan yang diberi terhadap kanak-kanak, belia dan wanita dalam Manifesto Pakatan Harapan (PH).

“Unicef juga sedia menantikan peluang untuk bekerja bersama kerajaan Malaysia bagi merealisasikan komitmen-komitmen yang termaktub di dalam perjanjian 100 hari tersebut,” tambah Unicef lagi.

Tambah Unicef, salah satu cara untuk mengukur pembangunan sosio-ekonomi sesebuah negara adalah dengan mengambil kira sebaik manakah golongan kanak-kanak dijaga dari segi kesihatan mereka, keselamatan mereka, pendidikan mereka serta penyertaan mereka.

“Kepentingan kanak-kanak juga harus menjadi asas segala dasar awam dan keputusan yang dibuat bagi pihak mereka.

“Unicef juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Tun Dr Mahathir Mohamad kerana telah dipilih secara penuh demokratik sebagai Perdana Menteri Malaysia ketujuh dan juga mengalu-alukan pengumuman Menteri-Menteri Kabinet utama serta Majlis Penasihat,” katanya. — DayakDaily