‘Undi BN pasti tuntutan MA63 terus diperjuangkan’

Nancy (tengah, baju putih) merakamkan gambar bersama masyarakat setempat di Sadong Jaya.

SIMUNJAN, Mei 6: Undi calon Barisan Nasional (BN) bagi kawasan Parlimen Batang Sadong Dato’ Sri Nancy Shukri untuk memastikan perjuangan terhadap tuntutan Sarawak dalam Perjanjian Malaysia (MA63) berjalan lancar dan terus terlaksana.

Itulah yang dilaungkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya Aidel Lariwoo dalam setiap kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) di kawasan Sadong Jaya.

Aidel turut meminta semua pemimpin-pemimpin di seluruh ranting Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Sadong Jaya untuk menyampaikan mesej tersebut kepada lebih 6,700 pengundi yang terdiri daripada pengundi Melayu (5,917), Cina (753) dan Iban (92).

“Dato’ Sri Nancy akan membawa suara rakyat Sarawak dalam Jawatankuasa Pemandu Pelaksanaan Penurunan Kuasa antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Sarawak dan Sabah (Devolution of Authority) yang dipengerusikan beliau bersama Datuk Seri Anifah Aman, Menteri Luar Malaysia.

“Komitmen perjuangan Dato’ Sri Nancy dalam memastikan tuntutan rakyat Sarawak dipenuhi kerajaan Persekutuan terbukti apabila perkara ini menjadi antara intipati penting dalam manifesto BN Persekutuan yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri,” katanya di sini hari ini.


Selain itu kata Aidel, hubungan rapat Nancy dengan menteri-menteri persekutuan amat memanfaatkan rakyat di negeri ini terutamanya penduduk di kawasan Parlimen Batang Sadong dari segi projek pembangunan infra-rakyat.

Justeru, beliau menggesa seluruh penduduk di Parlimen Batang Sadong memilih BN dan memberi mandat kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu agar lebih banyak projek-projek berimpak tinggi dapat dinikmati rakyat di ketiga-tiga kawasan DUN Sadong Jaya, Simunjan dan Gedong yang melibatkan 23,131 pengundi.

Mac lalu Jawatankuasa Pemandu Pelaksanaan Penurunan Kuasa antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Sarawak dan Sabah (Devolution of Authority) telah bermesyuarat dipengerusikan bersama oleh Anifah dan Nancy.

Pelaksanaan penurunan kuasa antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri Sarawak sudah pun bermula dengan kebanyakan 13 perkara administratif yang telah dipersetujui sebelum ini, telahpun berjaya dilaksanakan.

Antaranya ialah pemberian tauliah mengikut Kanun Tatacara Jenayah kepada para Pegawai Undang-Undang Negeri oleh Pendakwa Raya untuk membuat pendakwaan bagi kesalahan mengikut ordinan negeri daripada peringkat seseorang itu dikenakan pertuduhan di mahkamah rendah, hinggalah ke peringkat rayuan.

Selain itu, penambahan 100 jawatan baharu dengan pengisian sepenuhnya dalam Jabatan Imigresen Sarawak bagi menambahbaik fungsi penguatkuasaan di Sarawak juga telah dilaksanakan sepenuhnya.

Beberapa perkara lain seperti isu Jabatan Kebajikan, kini berada di peringkat akhir perbincangan. — DayakDaily