Ujian calitan masuk dan singgah di Bintulu dilanjutkan sehingga 27 April

Jack Aman (dua dari kanan) pada mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Bintulu.

KUCHING, 18 April: Syarat menjalani ujian calitan (rT-PCR) untuk masuk dan singgah di Bahagian Bintulu yang telah dilaksanakan sebelum ini dilanjutkan sehingga 27 April ini.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Bintulu Jack Aman Luat memaklumkan bahawa jawatankuasa telah bersetuju untuk melanjutkan tempoh ujian saringan itu.

Katanya, penguatkuasaan adalah serentak dengan tarikh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di bahagian itu mulai 14 hingga 27 April.


“Pelanjutan tempoh tersebut merupakan ‘circuit breaker’ bagi mengurangkan jangkitan Covid-19 dan bukan menyukar atau menyusahkan masyarakat.

“Pelaksanaan ujian saringan itu dilihat dapat mengurangkan pergerakan dari kawasan lain ke Bintulu.

“Kalau tiada perkara penting atau munasabah sebilangan besar mereka tidak akan melintas Bintulu, namun ini satu pendekatan kita untuk mengurangkan pergerakan antara zon,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Bintulu di Wisma Residen semalam.

Dalam pada itu, Jack Aman menjelaskan JPBB Bintulu telah membahagikan Bahagian Bintulu kepada 36 zon dalam usaha mengawal penularan Covid-19.

“Kita akan melihat SOP ini dengan lebih mendalam sama ada mengubahsuai ataupun memperketatkan lagi bagi tujuan mengurangkan penularan Covid-19,” jelasnya.

Ujar Jack Aman lagi, kaedah lain yang telah diambil JPBB Bintulu ialah mengadakan sekatan jalan raya dan tidak membenarkan mengadakan majlis sosial kecuali upacara  pengkebumian.

“Sebanyak empat sekatan jalan raya dilaksanakan iaitu di Jalan Sebiew, Jalan Tun Hussein Onn, Jalan Persimpangan Stadium Muhibbah dan Jalan Tanjung Batu.

“Manakala, majlis sosial seperti kenduri, pernikahan, perkahwinan, pertunangan, resepsi, doa selamat, akikah, tahlil, sambutan ulang tahun kelahiran, `reunion, retreat’, hari keluarga dan majlis tanggungjawab sosial korporat (CSR) juga tidak dibenarkan dalam SOP tersebut,” ujarnya.

Bagaimanapun, sekira berlakunya upacara pengkebumian, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) di kawasan berkenaan wajib melaporkan majlis atau upacara berkenaan kepada pejabat daerah atau pihak polis supaya anggota polis dapat dihantar untuk membuat kawalan. — DayakDaily