Op Benteng: TDM usir keluar 38 PATI dipercayai cuba masuk ke Sarawak

Lapan pendatang tanpa izin ditangkap di sektor Lubok Antu dan telah diusir keluar.

KUCHING, 18 April: Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Div) telah mengusir keluar seramai 38 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dipercayai cuba masuk ke Sarawak menerusi lorong ‘tikus’ yang membabitkan 10 kes bermula 8 April, 2021.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) hari ini, dalam kes terbaharu seramai lapan individu warga Indonesia ditahan ketika berjalan kaki menuju ke ke arah sempadan kira-kira 300 meter dari Malaysia.

Sel Perhubungan Raya Markas 1 Divisyen dalam satu kenyataan media hari ini memberitahu, kesemua tujuh lelaki dan seorang wanita itu ditahan pada pukul 5 petang oleh sepasukan anggota tentera yang berkawal di Sektor Lubok Antu.


“Manakala kes yang mencatat angka tertinggi adalah kes pengusiran di Sektor Tebedu pada 12 April, 2021 pukul 7 malam apabila 11 PATI termasuk seorang bayi perempuan berusia sembilan bulan ditahan dan diusir.

“Pelbagai alasan dan taktik digunakan mereka untuk menyelinap masuk ke Malaysia berkemungkinan atas desakan hidup impak daripada pandemik Covid-19,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, kenyataan itu juga berkata anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) sentiasa komited menggalas tanggungjawab meneruskan inisiatif Op Benteng meskipun menjalani ibadah puasa.

Ia bagi mengekang aktiviti PATI menyelinap masuk ke Sarawak serta kegiatan jenayah rentas sempadan. — DayakDaily