Uggah: Tiada peluru hidup digunakan dalam operasi rabies

Uggah (duduk dua dari kiri) berkongsi maklumat dengan Pengarah Keselamatan dan Unit Penguatkuasaan Negeri Dato Dr Chai Kin Chung (berdiri kiri) dan Ahli Parlimen Kota Samarahan Rubiah Wang (duduk kiri) pada mesyuarat tersebut.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, April 14: Tiada peluru hidup digunakan sepanjang Operasi Rabies yang di jalankan di Sarawak, ujar pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Malah tegas Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri, petugas-petugas operasi juga tidak pernah memasuki premis swasta untuk mengambil tindakan ke atas anjing tanpa kebenaran pemilik premis.

“Kehadiran anggota keselamatan beruniform lengkap dengan senjata api adalah bertujuan menjaga keselamatan para petugas dari sebarang ancaman keselamatan,” ujar Uggah menerusi satu kenyataan hari ini.

Wabak Rabies Sarawak telah diisytiharkan sebagai Bencana Tahap 2 di bawah Arahan Majlis Keselamatan Negara pada Januari 11, 2019 semasa mesyuarat JPBNS.

Dibawah arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis DiRaja Malaysia (PDRM) adalah Komander Operasi.

Operasi ini telah mendapat arahan Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (NADMA) dan NADMA telah menyalurkan bantuan kewangan, peralatan serta penugasan sepasukan doktor haiwan dari Jabatan Perkhimatan Veterinar Malaysia.

Semua tindakan yang diambil oleh JPBNS dalam menangani bencana wabak Rabies mematuhi klausa (4), (37), (38), dan (40) Ordinan Kesihatan Awam 1999.

Berhubung isu yang sama, Uggah semalam mempengerusikan mesyuarat operasi anti-rabies di Pejabat Daerah Samarahan.

Menerusi operasi tersebut, sejumlah 1,331 ekor anjing telah pun diberi suntikan vaksin dan 425 ekor dipindahkan.

Dianggarkan Samarahan memiliki 5,412 ekor anjing dan 4,474 ekor telah diberi suntikan vaksin.

Operasi anti rabies seterusnya akan dilakukan di Daerah Kuching bermula April 22 sehingga Mei 10. — DayakDaily