Karnival Darul Hana akan dijadikan acara tahunan

Dr Abdul Rahman (tiga dari kiri) menyampaikan cenderamata kepada wakil dari Sarawak Energy Berhad yang turut membantu menjayakan karnival itu.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, April 14: Karnival Darul Hana akan menjadi acara tahunan dan akan diadakan pada setiap bulan April, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai, Dr Abdul Rahman Junaidi.

Beliau yang juga Menteri Muda Bekalan Elektrik Luar Bandar berkata perkara tersebut telah pun dipersetujui ketua menteri.

“Saya telah berbisik dengan ketua menteri untuk menjadikan karnival ini sebagai acara tahunan.

“Beliau bersetuju dengan cadangan ini dan kita akan adakan pada bulan April setiap tahun,” katanya di majlis penyampaian hadiah Karnival Darul Hana 2019 yang diadakan di perkarangan Masjid Darul Hana hari ini.

Menurut Dr Abdul Rahman, bulan April dipilih kerana Projek Pembangunan Darul Hana telah dilancar Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada April 15, 2011.

Selain dari itu, tambah beliau, Masjid Darul Hana juga telah dirasmikan Taib pada April 15, 2016.

“Karnival ini diadakan bersempena dengan sambutan tiga tahun Masjid Darul Hana, maka kita pilih bulan April setiap tahun untuk adakan karnival ini,” katanya.

Beliau menerangkan yang objektif penganjuran karnival adalah untuk menggalakkan penduduk kampung seberang hilir mengekalkan warisan lama walaupun terpaksa berpindah ke penempatan baru, Darul Hana.

“Bila kita pindah, maka kita akan tinggalkan kampung lama dan berada di penempatan baru. Kerajaan negeri menyediakkan prasarana moden, teratur dan lebih sistematik bersesuaian dengan kehidupan di bandaraya.

“Walaupun begitu, kita tidak mahu meninggalkan warisan lama dan oleh sebab itu ketua menteri mahukan budaya lama ini dikekalkan.

“Kita mahu semua memberikan sumbangan dan sokongan tentang bagaimana budaya lama ini boleh dikekalkan dan seterusnya diwariskan pada generasi baru.

“Salah satu cara adalah menerusi penganjuran karnival ini,” tegas Dr Abdul Rahman. — DayakDaily