Uggah: Pengurusan rumpai kritikal untuk tingkatkan hasil pengeluaran

Uggah (tengah) melancarkan Jurnal APWSS di perasmian persidangan di Kuching. Turut kelihatan, Dr Abdul Shukor (dua kiri)

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Sept 3: Pengurusan rumpai yang baik adalah kritikal di dalam aktiviti pertanian dan tanah yang bukan untuk tujuan pertanian.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata rumpai mempengaruhi pengeluaran hasil pertanian, dimana usaha perlu dipertingkatkan untuk menambah pengeluaran makanan di masa akan datang.

“Trend pada masa ini membawa petunjuk yang masalah rumpai akan bertambah buruk dalam tempoh 10-20 tahun akan datang dan ini adalah kesan daripada perubahan alam sekitar.

“Perubahan ini menuntut usaha pengurusan rumpai yang lebih inovatif dan menyeluruh agar mampu membantu aktiviti pengeluaran makanan dan pemuliharaan alam sekitar,” katanya ketika merasmikan Persidangan Persatuan Sains Rumpai Asia-Pasifik (APWSS) 2019, di sini, hari ini.


Uggah (duduk tengah) merakamkan kenangan bersama peserta APWSS Ke-29 di Kuching.

Tambah beliau, keperluan untuk menambah pengeluaran makanan meningkat dalam tempoh 10 tahun akan datang kesan daripada pertambahan populasi dunia.

Ujar Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah, populasi dunia dijangka meningkat kepada 8.6 bilion pada tahun 2030.

“Oleh itu, usaha menambah pengeluaran makanan untuk memenuhi keperluan populasi yang semakin meningkat adalah kritikal. Kajian mencadangkan yang pengeluaran makanan harus ditambah 50 peratus pada tahun 2050,” katanya.

Sifat rumpai yang turut memerlukan air, zat cahaya dan karbon dioksida, tambah Uggah, menjadi kekangan kepada pengeluaran mekanan.

“Ianya mengurangkan produktiviti terutamanya pada kualiti dan kuantiti disamping meningkatkan kos pengeluaran,” katanya.

Pengerusi APWSS 2019, Dr Abdul Shukor Juraimi, berkata tanpa pengurusan yang baik, rumpai boleh mengurangkan hasil pengeluaran sehingga 90 peratus.

Katanya, persidangan menjadi forum terbaik untuk perkongsian hasil kajian dan pengalaman, menerokai inovasi dan membentuk kerjasama tanpa mengira sempadan.

Persidangan Persatuan Sains Rumpai Asia-Pasifik 2019 disertai para profesional dari pelbagai displin kepakaran dan industri dari dalam dan luar negeri. — Dayakdaily.

Share this article!