Uggah: Kerjasama dengan syarikat ‘anchor’ tingkatkan nilai ekspot produk Sarawak

Uggah (dua dari kanan) menerima cenderahati dari Chee sambil disaksikan Loy (kiri) pada pertemuan itu.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Ogos 28: Sarawak ingin mewujudkan banyak lagi kerjasama dengan syarikat ‘anchor’ bagi membantu menambah nilai ekspot produk negeri.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah berkata kerjasama itu penting kerana ianya membawa kebaikan kepada semua yang terlibat di dalam industri.

“Syarikat utama (‘anchor’) ini sudah faham dengan pemintaan pasaran luar seperti pasaran di Singapura, China, Eropah dan yang lain.

“Oleh kerana itu, kita telah memilih syarikat utama dari Johor untuk memasarkan buah durian Sarawak ke China dan ianya dilakukan dalam tempoh enam bulan sahaja.

“Jika kita memilih syarikat tempatan, proses itu akan memakan masa yang lama kerana mereka perlu melihat kemudahan kita di sini dan kita harus mengikut ketetapan mereka,” katanya.

Uggah berkata demikian di sidang media setelah menerima kunjungan kerja delegasi Menteri Kanan Singapura Chee Hong Tat di pejabat beliau di Wisma Bapa Malaysia hari ini.

Sehingga sekarang, Sarawak telah mewujudkan kerjasama dengan tiga syarikat utama dan ianya berkaitan dengan pemasaran buah durian ke pasaran luar negara.

Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah menambah, usaha tersebut selari dengan matlamat menjadikan Sarawak sebagai pengekspot makanan terbesar menjelang 2030.

Mengulas pertemuan dengan Chee yang juga Menteri Perdagangan dan Industri Singapura, Uggah berkata perbincangan tertumpu pada kerjasama antara kedua-dua kementerian untuk membangunkan sektor pertanian di Sarawak.

Katanya, Singapura adalah pintu keluar utama produk dari Sarawak dan kerana itu Pejabat Pelancongan dan Perdagangan (STATOS) telah dibuka di republik itu.

“Terdapat banyak potensi di Singapura dan sekarang kita mengekspot beberapa produk makanan ke republik ini dan berharap jumlahnya akan meningkat.

“Kita ingin mewujudkan kerjasama. Setiap negara mempunyai taraf dan ketetapan yang harus dipatuhi sebelum produk boleh dibawa masuk,” ujarnya.

Turut serta di dalam delegasi itu ialah Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Loy Hui Chen. — DayakDaily