Tunjuk MyKad jika terpaksa melalui SJR PKPD Mambong: IPD Padawan

Anggota yang bertugas menjaga SJR PKPD Kampung Mambong.

PADAWAN, 8 Julai: Kelonggaran diberikan kepada penduduk dari kampung berdekatan kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Kampung Mambong untuk melalui sekatan jalan raya (SJR).

Perkara tersebut dipersetujui dalam satu perbincangan bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan dengan Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching dan Ahli Parlimen Puncak Borneo Datuk Willie Mongin semalam.

Ketua Polis Daerah Padawan Supt Aidil Bolhassan berkata buat masa ini, penduduk dari kampung berdekatan yang terpaksa melalui SJR tersebut harus menunjukkan kad pengenalan (myKad) untuk membuktikan mereka bukan penduduk Kampung Mambong.


Jelas beliau, insiatif tersebut adalah selepas mengambil kira berkenaan laluan tersebut yang juga merupakan laluan utama beberapa buah kampung iaitu Kampung Sikog, Simboh, Petag, Bangau dan Sitaang.

“Sungguhpun begitu, kebenaran menggunakan kad pengenalan hanyalah sementara sehingga Pejabat Daerah Kecil Padawan mengedarkan borang kebenaran untuk melalui SJR PKPD Mambong kepada Ketua Kampung.

“Borang itu nanti hendaklah disahkan oleh Ketua Kampung bersama salinan kad pengenalan (pemohon) dan surat majikan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Tegasnya, pemeriksaan lebih ketat akan dilakukan untuk mengelak berlaku sebarang insiden yang tidak diingini.

“Walaubagaimanapun, SOP iaitu hanya dua orang dibenarkan satu kenderaan masih perlu dipatuhi untuk mengelakkan daripada dikompaun,” katanya.

PKPD di Kampung Mambong berkuatkuasa 7 Julai dan dijalankan selama dua minggu selepas 19 penduduknya disahkan positif Covid-19.

Semua penduduk kampung akan menjalankan swab test pertama pada 9 Julai ini dan swab test kedua dijadualkan pada 17 Julai. ā€” DayakDaily