Lima lagi ejen judi ditangkap di Padawan

PDRM logo

KUCHING, 29 Sept: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan menangkap
lima lagi individu disyaki ejen judi dalam talian termasuk seorang wanita semalam.

Ketua Polis Daerah Padawan Supt Aidil Bolhassan berkata kesemua suspek ditangkap dalam Ops Dadu Khas dalam usaha membanteras kegiatan judi dalam talian.

Katanya, tangkapan pertama dilakukan di sebuah kafe di Jalan Belatok, membabitkan tangkapan seorang wanita sekitar jam 10.55 pagi.


“Tangkapan kedua pula dilakukan dalam serbuan ke atas sebuah kedai serbaneka di Batu Kawa pada jam 2 petang dan tangkapan ketiga pula di sebuah restoran di Tapah pada jam 3.45 petang,” katanya.

Manakala tangkapan keempat dan kelima pula masing-masing dilakukan di sebuah kedai runcit dan sebuah rumah di Padawan sekitar 5 petang.

Pasukan operasi dalam operasi tersebut merampas beberapa unit telefon bimbit, mesin pencetak dan sejumlah wang tunai.

Siasatan lanjut kes masih dijalankan di bawah Akta Rumah Judi Terbuka.

“Operasi akan diteruskan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan perjudian tersebut boleh tampil membantu siasatan,” kata Aidil. ā€” DayakDaily