Tun M akan bincang isu pembayaran royalti petroleum Sabah, Sarawak bulan depan

Tun Mahathir (centre, grey jacket) flanked by Mohd Shafie (left) and Abang Johari, in a group photo with the MA63 steering committee.

KUCHING, 19 Nov: Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Kerajaan Negeri-Persekutuan dan Pemantauan Projek, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, berkata isu petroleum dan gas akan dibincangkan dengan kerajaan pusat pada bulan depan.

Katanya, isu tersebut akan dibincangkan secara berasingan di antara Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dengan ketua menteri Sabah dan Sarawak, yang telah dipersetujui pada Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet (Pemandu) semalam.

“Jawatankuasa Khas ini telah bersetuju bahawa perbincangan B2B di antara Petronas, Petros dan kerajaan negeri akan diteruskan.

“Manakala isu mengenai bayaran royalti dan pembayaran tunai bagi petroleum dan gas akan dibincangkan secara berasingan di antara perdana menteri dan ketua menteri Sabah dan Sarawak,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah mempengerusikan Mesyuarat Pemandu untuk menyemak Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 yang kelima.

Mesyuarat dihadiri Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal serta 23 ahli jawatankuasa yang terdiri daripada menteri-menteri Kabinet Persekutuan.

Sharifah Hasidah, yang turut serta pada mesyuarat semalam, menyifatkan perbincangan tersebut sangat positif dan memaklumkan yang terdapat perkara-perkara yang perlu dibincangkan dengan lebih lanjut.

Antaranya Semakan Semula Pemberian Khas, royalti minyak dan pembayaran tunai petroleum, tanah negeri yang diberi hak milik kepada persekutuan, kuasa baki perundangan, pertambahan jawatan dan beberapa perkara lain.

“Pihak Kementerian Kewangan telah bersetuju untuk mengadakan perbincangan lanjut bagi membincangkan secara terperinci mengenai rangka proses dan prosedur bagi semakan semula pemberian khas ini dan juga mengenai formula yang akan digunakan.

“Semakan Pemberian Khas ini akan turut membincangkan dengan lebih lanjut perkara-perkara lain termasuklah gantian sumber kewangan yang diserahkan kepada kerajaan negeri.

“Ia termasuk duti import dan eksais bagi produk petroleum di mana sumber kewangan ini telah diberhentikan kerana Kerajaan Pusat menandatangani AFTA pada tahun 2001,”ujar beliau.

Sehingga hari ini, sebanyak 21 isu telah dikemukakan kepada Pemandu untuk diteliti dan dikaji secara bersama.

Sehingga 23 Julai, 2019, tujuh isu telah mendapat persetujuan bersama seperti yang telah diumumkan oleh perdana menteri pada 19 Ogos, 2019, yang lepas.

Di antara perkara-perkara yang telah dipersetujui adalah mengenai kuasa kawalselia pengedaran gas dan elektrik, penubuhan Jawatankuasa Kerja Pemantapan Kolaborasi Pelaksanaan Projek Persekutuan bagi membincangkan mekanisme pelaksanaan projek Persekutuan di Negeri.

Turut dipersetujui adalah penurunan kuasa kepada Kerajaan Negeri Sarawak dan Sabah bagi membuat perundangan subsidiari mengenai “labour conditions peculiar to the state” di bawah Ordinan Buruh negeri masing-masing.

Pemandu juga bersetuju dengan penubuhan Jawatankuasa Khas Libat Urus secara berkala untuk membincangkan perkara perkara berkaitan isu pengurusan kesihatan negeri Sarawak dan Sabah

Mesyuarat yang diadakan semalam merupakan mesyuarat yang terakhir bagi Jawatankuasa Khas Kabinet ini. — DayakDaily