Tujuh pemandu ditahan, disyaki mabuk

Gambar komposit menunjukkan operasi tersebut.
Advertisement

KUCHING, 9 Okt: Seramai tujuh pemandu kereta ditahan kerana disyaki memandu dalam keadaan mabuk semasa Op Mabuk di Jalan Kuching-Serian dan Jalan Expressway Kota Samarahan pada Sabtu lalu (7 Okt).

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sarawak, empat daripadanya telah disahkan positif kerana kandungan alkohol melebihi had ditetapkan selepas disaring.

Katanya, lima pemandu ditahan untuk pemeriksaan di Jalan Kuching-Serian dan dua lagi di Jalan Expressway Kota Samarahan.

Advertisement

“Hasil ujian pernafasan menggunakan alat EBA II mendapati empat pemandu positif kandungan alkohol yang melebihi had yang ditetapkan semasa pemeriksaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol.

Jika disabitkan kesalahan boleh didenda maksimum RM10,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun serta hilang kelayakan lesen sehingga lima tahun.

“Justeru para pemandu diingatkan agar mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya berkenaan dengan isu pemandu mabuk.

“Operasi seperti akan sentiasa dijalankan dari semasa ke semasa bagi membanteras pemandu mabuk di jalan raya,” katanya. — DayakDaily

Advertisement