Lima pemandu disyaki mabuk ditahan dalam Ops Mabuk di Bintulu

Pemeriksaan dilakukan oleh anggota operasi.

BINTULU, 7 Jun: Seramai lima individu termasuk seorang wanita ditahan kerana disyaki memandu dibawah pengaruh alkohol dalam Ops Mabuk di Jalan Bakery Ting, di sini semalam.

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu melalui akaun Facebooknya berkata kelima-lima yang ditahan terdiri daripada empat warga tempatan dan seorang warga asing.

“Kelima-lima mereka ditahan kerana disyaki memandu dengan kepekatan alkohol melebihi had dalam badan.


“Bagi kesalahan ini, mereka akan disiasat di bawah Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukumnan denda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM30,000 atau boleh dpenjara tidak lebih dua tahun.

“Selain itu juga boleh hilang kelayakan memandu selama tempoh tidak kurang daripada dua tahun,” katanya.

Jelasnya juga, operasi tersebut dijalankan dari jam 9.30 malam Ahad hingga 2 pagi semalam.

Katanya, seramai 152 individu dan 119 buah kenderaan diperiksa sepanjang operasi tersebut.

“Sebanyak 53 sama dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu, ubah suai ekzos dan tidak menggunakan tali pinggang keledar.

“Turut disita ialah tiga buah motosikal di bawah Seksyen 60 Akfa Pengangkutan Jalan 1987 kerana ditunggang secara meluru dan merbahaya,” katanya. — DayakDaily