Tujuh lelaki termasuk adik seorang peguam lunas dendam membelasah seorang pemuda, direman satu hari

Ketujuh-tuhuh suspek pergaduhan di Piasau Jaya ditahan reman di Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan lanjut.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 24 Sept: Tujuh lelaki warga tempatan termasuk adik kepada seorang peguam ditahan reman hari ini oleh Mahkamah Miri bagi membantu siasatan kes seorang lelaki dibelasah di Jalan Anchi Piasau Jaya Fasa 1 pada petang Khamis (23 Sept).

Kesemua suspek berusia sekitar 31 sehingga lewat 40-an ditahan pihak polis sekitar jam 8 semalam susulan satu laporan mengenai kejadian itu.


Perintah tahanan reman dikeluarkan oleh Magistret Leona Dominic Mojiliu pagi ini melalui aplikasi video ‘Zoom’ di Balai Polis Pusat Miri.

Kesemua tujuh lelaki tersebut ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 506, 447 dan 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah, menceroboh dan khianat dalam kejadian yang dilaporkan.

Sementara itu, mangsa kejadian turut ditahan dan direman selama empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 324, seksyen 506 dan Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Dalam kejadian pada petang Khamis itu, sekumpulan tujuh orang suspek tersebut bertindak membelasah mangsa berusia 40 tahun di sebuah kediaman disyaki angkara dendam.

Siasatan awal mendapati, tiga daripada suspek telah bertindak memecahkan pintu utama rumah tersebut menggunakan batang besi dan kerusi.

Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari, kejadian dipercayai berlaku kerana dendam setelah seorang peguam terkenal di Miri mendakwa dirinya telah diserang oleh seorang lelaki yang beliau kenali ketika sedang menunggang motosikal untuk pulang ke rumah di Simpang Lorong 1A Piasau Jaya.

Ekoran daripada kejadian tersebut, adik kepada mangsa telah mengambil tindakan mengesan penyerang tersebut bersama beberapa orang rakan beliau dan berlaku pergaduhan yang mengakibatkan kerosakan kepada harta benda serta kecederaan.

Pihak polis yang tiba di tempat kejadian terpaksa melepaskan tembakan di udara untuk meleraikan pergaduhan serta meredakan keadaan.

Kesemua yang terlibat dalam pergaduhan tersebut telah membuat laporan polis dan mereka yang terlibat ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Miri untuk membantu siasatan.

Pergaduhan tersebut turut dirakam oleh orang awam yang berada di tempat kejadian dan tular di media sosial.

Pihak polis ingin menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan rakaman pergaduhan tersebut kerana ianya akan mengundang kegusaran kepada masyarakat serta membawa kepada tafsiran yang negatif kepada semua pihak.

Mana-mana individu yang didapati menularkan video tersebut akan didakwa di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Tindakan juga boleh diambil di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan, jika sebarang spekulasi dibuat dengan tujuan untuk mengamcam keamanan.

Pihak polis juga ingin menegaskan kepada masyarakat agar tidak mengambil tindakan di luar batasan undang-undang.

Tiada siapa dibenarkan dalam undang-undang untuk menggunakan kekerasan, gangsterism dalam menyelesaikan pertelingkahan di antara pihak tanpa mengira latarbelakang mereka.

Sebarang kejadian jenayah yang berlaku harus dilaporkan dengan segera kepada pihak polis untuk siasatan dan tindakan lanjut. Pergaduhan ini dapat dielakkan jika semua pihak berfikiran secara rasional.

Masyarakat diminta memberi ruang kepada pihak polis untuk menyiasat dengan lebih lanjut insiden ini. Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut berkaitan kejadian ini diminta untuk menyalurkan kepada BSJD Miri.  — Dayakdaily