Tujuh isu mendapat persetujuan bersama pada Mesyuarat PEMANDU berhubung MA63 setakat Julai 23

Signature. — DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay

KUCHING, Ogos 19: Tujuh isu telah mendapat persetujuan bersama pada Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet (PEMANDU) Untuk Menyemak Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang ke-empat Julai 23 lepas.

Pejabat Perdana Menteri menerusi satu kenyataan media hari ini juga memaklumkan 14 isu masih memerlukan perbincangan lanjut dan dijangka akan diputuskan sebelum Ogos 31, 2019.

Mesyuarat telah dipengerusikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan dihadiri Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Isu-isu yang telah mendapat persetujuan bersama adalah tuntutan duti eksport balak dan hasil hutan, pengedaran gas dan kuasa kawal selia elektrik dan gas, pelaksanaan kerja raya persekutuan dan negeri, dan tenaga buruh.

Tiga isu lain yang turut dipersetujui bersama adalah kuasa negeri ke atas isu kesihatan, pentadbiran Pulau Sipadan dan Ligitan dan isu pertanian dan perhutanan.

Mesyuarat pertama telah diadakan pada Disember 17, 2018 dan 21 isu telah diterima oleh PEMANDU untuk diteliti dan dikaji.

Tiga belas isu tuntutan dikenal pasti sebagai isu bersama melibatkan kerajaan negeri Sarawak dan Sabah manakala lapan isu lain melibatkan tuntutan kerajaan negeri Sabah sahaja.

Rundingan ini adalah selaras dengan Janji 40 yang terkandung dalam Manifesto Pakatan Harapan melalui persetujuan Jemaah Menteri pada September 5, 2018 untuk menubuhkan PEMANDU untuk menyemak pelaksanaan MA63.

PEMANDU dibantu oleh Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Kerja dan diurus seliakan oleh pasukan petugas khas yang dikenali sebagai ‘Taskforce MA63’.

PEMANDU mempunyai 23 ahli jawatankuasa yang terdiri daripada Menteri-Menteri Kabinet Persekutuan, Ketua Menteri Sarawak, Ketua Menteri Sabah dan pegawai-pegawai tinggi Kerajaan Persekutuan, Sarawak dan Sabah. — DayakDaily