TTPRS arah tiga pemaju bayar RM107,797.68 kepada lima pembeli

Lim (dua dari kiri) melihat dokumen tuntutan pembeli pada sidang media selepas perbicaraan TTPRS di Kuching.

KUCHING, 30 Dis: Tribunal Tuntutan Pembeli rumah Sarawak (TTPRS) mengarahkan tiga pemaju tempatan membayar sejumlah RM107,797.68 ganti lima pembeli atas kelewatan menyerahkan rumah mereka.

Presiden TTPRS, Peter Lim Thiam Seng berkata, ketiga-tiga pemaju terbabit diarahkan untuk membayar tuntutan berkenaan dalam tempoh 45 hari selepas mendapat surat penghakiman daripada tribunal terbabit.

“Pembayaran oleh pemaju itu akan boleh dilakukan apabila kita sudah menandatangani surat penghakiman itu dan surat itu mungkin akan diserahkan kepada pemaju terlibat dalam masa terdekat ini selepas kita dapat dan tandatanganinya,” katanya pada sidang media selepas perbicaraan TTPRS di sini hari ini.


Lim berkata, lima kes tuntutan terbabit melibatkan kelewatan serahan pemilikan kosong yang melebihi tempoh sebulan daripada tarikh permit menduduki (OP).

“Apabila mereka menandatangani perjanjian jual beli, pemaju memberitahu pembeli boleh menduduki rumah mereka dalam tempoh 24 hingga 36 bulan.

“Bagaimanapun pemaju ini telah didapati gagal berbuat demikian dan dalam situasi berkenaan ada prosedur untuk pembeli membuat tuntutan atas kegagalan pemaju tersebut menyerahkan harta tanah yang di beli oleh pembeli terbabit,” katanya.

Beliau berkata, panel TTPRS mengarahkan syarikat pemaju, Sentoria Borneo Land Sdn Bhd untuk membayar sejumlah masing-masing RM10,921 kepada dua pembeli iatu Mohamad Rezan Manjani dan Haby Bawan.

Lien Dak Development Sdn Bhd pula diarahkan untuk membayar RM38,184.26 kepada tiga beranak iaitu, Lucy Tay, Tay Seng Ling dan Kelly Tay, manakala RM37,485.07 lagi kepada Liew Phet Khen.

Sementara itu Ikram Suria Sdn Bhd telah diarahkan untuk membayar sejumlah RM10,286.35 kepada Mohammad Afizan Harry.

Dalam itu Lim memberitahu TTPRS menerima lebih 100 tuntutan berkaitan masalah pembelian harta tanah pada tahun ini.

Jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding tahun lalu susulan kesedaran pembeli harta tanah berkenaan hak mereka. — DayakDaily