Tragedi perahu karam: Mangsa kedua ditemui mati, mangsa ketiga masih gagal dikesan

Operasi SAR bagi mengesan mangsa ketiga yang belum ditemui.

JULAU, Mei 26: Mangsa kedua daripada tiga mangsa yang lemas di Nanga Ensiring, Entabai di sini semalam berjaya ditemui hari ini.

Mayat kanak-kanak malang itu, Kelvin Sama Markus, 6, dijumpai oleh penduduk rumah panjang kira-kira pukul 7 pagi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, mayat mangsa ditemui di Sungai Sepencur oleh penduduk rumah panjang yang kebetulan melalui sungai tersebut.


Katanya, penduduk rumah panjang kemudian menghubungi pihak polis mengenai penemuan mayat mangsa.

“Pada pukul 8.55 pagi, pihak polis telah tiba di Jeti Nanga Entabai bersama dengan mangsa yang sudah meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tiong menambah, operasi mencari mangsa terakhir iaitu Ebiline Linty Kaya, 23, masih diteruskan.

DayakDaily semalam melaporkan perjalanan pulang dua wanita dan seorang kanak-kanak lelaki ke rumah panjang dengan menaiki sebuah perahu berakhir dengan tragedi apabila seorang daripada mereka ditemui mati lemas, manakala dua lagi masih hilang di Nanga Ensiring.

Mayat mangsa, Lenny Ingang, 46, ditemui dalam keadaan terapung di pada pukul 12.30 tengah hari.

Pihak bomba menerima laporan berhubung kejadian itu dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Julau pada pukul 9.33 pagi.

Sejurus menerima laporan itu, sepasukan anggota bomba kemudian diarahkan ke lokasi untuk melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa. — DayakDaily