TPM Fadillah cadang wujud Pusat Pengumpulan Minyak Masak Terpakai di Rumah Ibadah

Fadillah hadir di Program Pengumpulan Minyak Masak Terpakai

KUCHING, 25 Nov: Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof menggesa agar Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKKK) dan pihak pengurusan rumah-rumah menubuhkan satu jawatankuasa untuk mewujudkan pusat pengumpulan minyak masak terpakai.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Fadillah berkata, JKKK dan pihak pengurusan rumah ibadah boleh mengambil peluang ini untuk menjadi pusat pengumpulan minyak masak.

Katanya, ia sekaligus mendapat dana tambahan bagi penganjuran aktiviti mahupun menolong mereka yang memerlukan.


Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi memberitahu, kini minyak masak terpakai boleh dijual semula dengan harga RM2.50 sekilo.

“Ada pihak berkemungkinan susah untuk menghantar minyak masak terpakai ke tempat pembelian semula minyak tersebut maka itulah saya mencadangkan JKKK menubuhkan satu jawatankuasa untuk mengumpul minyak tersebut dan dijual sekaligus dalam kuantiti yang banyak.

“Hasil yang diperoleh daripada hasil jualan semula minyak masak tersebut boleh digunakan untuk menganjurkan program-program yang dapat memberi manfaat semula kepada masyarakat sekitarnya,” jelas beliau.

Beliau berkata demikian semasa ditemui media selepas Program Pengumpulan Minyak Masak Terpakai sempena Program Trek Komoditi 2023 Zon Sarawak di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Petra Jaya tersebut turut memberitahu, inisiatif yang sama boleh diambil oleh rumah-rumah ibadah di mana wang jualan minyak masak tersebut boleh digunakan untuk membantu masyarakat yang memerlukan.

“Wang tambahan daripada hasil jualan minyak masak terpakai ini boleh digunakan oleh rumah ibadah untuk menubuhkan bank makanan di mana masyarakat yang susah boleh mendapatkan makanan asas seperti beras dan sebagainya di sini,” tambah beliau lagi.

Untuk rekod, seluruh Malaysia kini telah mempunyai sebanyak 33 pusat pembelian semula minyak masak terpakai iaitu sebanyak 30 di Semenanjung Malaysia, dua di Sarawak dan satu di Sabah.

Di Sarawak, pusat ini telah ditubuhkan di Stesen Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) Astana, Kuching dan Stesen PETRONAS Desa Senadin, Miri.

Hadir sama Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 Dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok Dato Ibrahim Baki, ADUN Tupong Fazzrudin Abdul Rahman. — DayakDaily