Tiong berjanji mengemukakan masalah rumah panjang di Dudong kepada kerajaan S’wak

Kelihatan Tiong (depan) sedang melawat salah sebuah rumah panjang di DUN Dudong semalam (21 Dis 2020).

SIBU, Dis 21: Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) Datuk Seri Tiong King Sing telah mengadakan lawatan ke 10 buah rumah panjang di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Dudong, seawal jam 4.30 pagi semalam.

Lawatan itu antara lain bertujuan bagi mendapatkan pemahaman secara jelas mengenai isu-isu tempatan dan memupuk hubungan dengan penduduk setempat.

Sepanjang lawatan itu, beliau mendapati kebanyakan rumah panjang masih ada yang belum dinaiktaraf, bahkan berada dalam keadaan ‘bangunan berbahaya’ disebabkan kerosakan dan kekurangan kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik yang tidak lengkap.


Malah, terdapat beberapa rumah panjang yang juga amat memerlukan jalan raya yang sempurna bagi penduduk untuk keluar dan masuk dari kawasan tempat tinggal mereka.

Tiong memberi jaminan akan mengemukakan permasalahan tersebut kepada kerajaan Sarawak sekaligus berusaha mendapatkan dana untuk rumah panjang di kawasan DUN Dudong.

Pada masa yang sama, beliau akan mengemukakan permohonan penduduk kepada pihak berkaitan.

Dalam pada itu, Tiong yang juga Ahli Parliamen Bintulu, berharap agar parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) benar-benar dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat yang mana kepimpinan harus memberi contoh kepada ahli parti dan berfikiran terbuka.

“Jangan menyalahgunakan kuasa anda untuk menekan anggota parti di peringkat akar umbi dan merosakkan asas kesatuan GPS.

“Semasa lawatan saya ke rumah panjang, saya mendapat tahu bahawa beberapa pemimpin masyarakat di Wilayah Tengah dihimpit dan ditekan kerana mereka menyokong parti komponen GPS yang lain.

“Mereka bahkan menggunakan kuasa dan kedudukan mereka untuk menyukarkan segalanya dalam semua aspek. Ini tidak boleh diterima,” kata Tiong.

Tegas beliau, tindakan sedemikian pasti akan menyebabkan pengundi hilang kepercayaan terhadap GPS.

Sebagai pemimpin politik yang kompeten, pihak terbabit, katanya, harus memerangi trend buruk secara dalaman dan ikhlas kepada rakyat agar dapat memenangi hati rakyat.

“Kita mesti memahami bahawa untuk menempuh jalan politik yang panjang, kita mesti selalu mengkaji diri dan memperbaiki sikap. Dan pengundi juga harus memahami kuasa suara di tangan mereka, yang tidak dapat diukur dengan wang sekali setiap lima tahun.

“Hasilnya haruslah menyeluruh dari keseluruhan lingkungan; pada masa lalu, calon, baik parti pemerintah dan pembangkang, akan sering muncul sebelum pilihan raya dan membuat banyak janji manis, tetapi setelah pilihan raya, semuanya tinggal janji.

“Demi kepentingan rakyat, semua pihak harus melepaskan keinginan diri dan duduk berbincang serta bekerjasama dalam semua perkara berkaitan. Sekiranya setiap orang mempertikaikan kepentingan mereka sendiri, tidak akan ada cara untuk mencapai kata sepakat, yqng akhirnya merugikan rakyat,” ujarnya lagi. — DayakDaily